February 25, 2024

13 kampung orang asli terima sumbangan lembu korban

KUALA SELANGOR: Di setiap 13 kampung Orang Asli yang menempatkan lebih 6,000 penduduk menerima seekor lembu korban sumbangan kerajaan negeri bagi memeriahkan sambutan Hari Raya Aidiladha pada esok.

Kesemua 13 lembu itu disalurkan Kerajaan Selangor menerusi peruntukan berjumlah RM80,000 dan bakal diagihkan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, inisiatif khas itu dilaksanakan semula selepas dua tahun tertunda akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

“Kerajaan negeri meluluskan permohonan lembu korban bagi semua kampung Orang Asli di enam daerah itu biarpun agak kelewatan menerimanya. Kesemua kampung itu memenuhi kriteria ditetapkan seperti surau untuk proses melapah dan mengagihkan daging.

“Sumbangan itu diharap dapat diagihkan secepat mungkin sekali gus memeriahkan lagi sambutan Aidiladha yang diraikan esok,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan penyerahan lembu itu di Selangor Fruit Valley (SFV), Bestari Jaya, hari ini.

Proses pengagihan itu akan dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bermula petang ini di kampung terlibat seperti di Hulu Kuang, Bukit Bandaraya, Bukit Lanjan, Kuala Pangsun, Bukit Bangkong dan Taman Desa Kemandol.

Tambah Loy Sian, pihaknya berharap akan menyalurkan sumbangan kepada lebih banyak kampung Orang Asli di negeri ini.

“Selangor secara keseluruhannnya mempunyai lebih 70 kampung dengan didiami seramai 21,000 penduduk setakat ini.

“Kita akan sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi memastikan tiada pihak yang keciciran menerima manfaat khas daripada kerajaan negeri,” ujarnya. – UTUSAN

OR

Scroll to Top