Pengacara terkenal, Elly Mazlein menuai pujian ramai peminat sejak pengumumannya berhijab pada awal Oktober lalu.
Penampilan terbaharu Elly dilihat menepati syariat, di mana dia mengenakan hijab dengan menutup bahagian yang sepatutnya, sekali gus menjadi inspirasi kepada ramai wanita.
Mengulas mengenai kata-kata baik yang diberikan peminat serta warganet, Elly bersyukur dan menyatakan dia masih dalam proses pembelajaran.
“Alhamdulillah, bila kita dah berhijab, saya nak ikut syariat. Saya masih ada di proses pembelajaran dalam semua perkara. Saya nak jaga semua benda,” kata Elly kepada XTRA.
Penyanyi lagu Bungaku Bakawali itu turut menegaskan keselesaan adalah keutamaan dalam bergaya dengan hijab.
“Saya pakai apa yang saya selesa. Saya selesa dengan penampilan sebegini. Keluar pun saya akan memakai tudung menutup dada, saya suka cara ini. Terima kasih atas kata-kata yang baik,” tambahnya.
Kata-kata semangat daripada peminat turut menjadi motivasi buat Elly untuk terus memperbaiki dirinya sebagai seorang muslimah.
“Kadang-kadang, kata-kata itu semangat untuk kita menjadi muslimah yang lebih baik. Saya suka pakai bawal sebab mudah untuk saya bekerja. Penata hijab pun saya beritahu, apa saja gaya saya boleh sahaja, asalkan menutup bahagian yang sepatutnya,” ujarnya.
Terkenal dengan nama panggilan Kepom, Kak Lina dan Sharifah, ibu kepada dua cahaya mata itu juga menegaskan imejnya yang berhijab tidak menjejaskan peribadi atau batas interaksinya dengan orang lain.
“Sebenarnya, Malaysia shaking! Ada yang risau, Kepom tak ada. Jangan risau, Kepom masih ada. Sharifah ada, Kepom pun ada. Saya masih seperti dahulu.
“Ketika tidak memakai hijab dahulu, saya tetap menjaga batas. Tak menyentuh lelaki, tak berpeluk. Sekarang ini, apatah lagi saya sudah berhijab. Saya akan membuat perkara yang sama, selagi perkara itu tidak melampaui batas,” jelasnya.
Dalam kerjayanya sebagai pengacara, Elly mengaku cabaran untuk memuaskan semua penonton tetap ada, namun dia menekankan niat untuk melakukan yang terbaik.
“Tugas pengacara memang kena memeriahkan, tapi pada masa yang sama, saya tak mampu untuk memuaskan hati semua orang. Untuk diri saya sendiri, saya sentiasa ingin melakukan yang terbaik, saya nak buat semua orang gembira. Itu tugas saya sebagai pengacara,” kata Elly kepada XTRA.
@xtra_my Wah, handsome Abang Jamil! Makin murah rezeki Que Haidar, Kamal Adli & Elly Mazlein… Alhamdulillah. Meriahnyaa ramai peminat turun! #xtramy #xtratonton ♬ original sound – XTRA
Penyanyi lagu Empat Dara itu ditemui pada sesi Meet and Greet Jakel Crazy Sale Terpaling Murah bersama duta Jakel 2026 di Jakel Mall, Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Dalam perkembangan terbaharu, Elly sekali lagi diumumkan sebagai duta Jakel 2026 bersama Kamal Adli dan Que Haidar.

Selain tawaran diskaun besar-besaran, suasana acara turut dibanjiri pelanggan dari pelbagai lapisan masyarakat, menjadikan penganjuran kali ini antara yang paling meriah pernah diadakan oleh Jakel.

Jakel Crazy Sale Terpaling Murah yang berlangsung sehingga 7 Disember diadakan di cawangan terpilih sepanjang musim promosi.






