am@hmetro.com.my
Baling: Polis mengesahkan mayat ditemukan dalam Proton Wira di tepi jalan Simpang 3 Tawar berhampiran jirat cina, di sini, semalam adalah seorang lelaki tempatan.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, polis menerima maklumat berhubung penemuan seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 11.35 pagi.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat diterima, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling pergi ke lokasi dan mendapati kenderaan itu dalam keadaan berkunci serta lelaki di dalamnya didapati sudah meninggal dunia.
Katanya, berikutan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling tiba di lokasi untuk membantu membuka serta mengeluarkan mayat lelaki berkenaan dari dalam kenderaan.
“Selain itu, pasukan dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah turut menjalankan pemeriksaan di lokasi.
“Siasatan awal mendapati, lelaki itu adalah warga tempatan berusia 30-an dan hasil semakan rekod mendapati, si mati mempunyai 20 rekod jenayah lampau yang membabitkan jenayah dan narkotik.
“Selain itu, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati Proton Wira itu mempunyai rekod hilang di Pendang dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
“Berikutan itu, polis merampas kenderaan terbabit untuk tujuan siasatan lanjut, ” katanya.
Brandon berkenaan, mayat lelaki berkenaan kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, untuk tindakan lanjut
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu bagi menjaga sensitiviti keluarga si mati.
Katanya, masyarakat yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh berhubung terus dengan Ketua Polis Balai Tawar, Sarjan Mejar Hafeedz Amil di talian 017-5588637 atau tampil di balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd






