UiTM dominasi Pantai Balok

UiTM dominasi Pantai Balok


Wajah ceria atlet dan pegawai UiTM selepas muncul antara kontinjen paling menyerlah dengan raihan tiga emas pada SUPANUN 2026.

 

KONTINJEN Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencuri tumpuan apabila berjaya membawa pulang tiga pingat emas pada Karnival Sukan Pantai Badan Berkanun (SUPANUN) 2026 di Pantai Balok, Kuantan di sini, dari 19 hingga 23 Mei lalu.

 

Tiga kilauan emas itu hadir menerusi acara petanque bagi kategori trio dan double wanita selain sepak takraw veteran lelaki yang menyaksikan atlet UiTM tampil cemerlang sepanjang kejohanan berlangsung.

 

Karnival dwitahunan anjuran Persatuan Sukan Badan Berkanun dengan kerjasama UiTM, Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) itu menghimpunkan 28 agensi badan berkanun dari seluruh negara dalam suasana penuh kompetitif dan semangat kesukanan.

 

Antara agensi yang mengambil bahagian termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Bank Simpanan Nasional (BSN) serta Majlis Sukan Negara (MSN).

 

Sebanyak enam acara dipertandingkan pada edisi kali ini membabitkan bola sepak, bola jaring, sepak takraw, bola tampar, tarik tali dan petanque.

 

UiTM hadir dengan kekuatan 60 atlet serta pegawai, namun tetap mengamalkan pendekatan berhemah dari aspek pengurusan kontinjen susulan cabaran ekonomi semasa tanpa menjejaskan persiapan pasukan.

 

Kejayaan membawa pulang tiga emas itu sekali lagi membuktikan komitmen berterusan UiTM dalam memperkasakan budaya sukan dalam kalangan staf menerusi pembentukan warga kerja yang aktif, sihat dan berdaya saing.

 

Malah pencapaian tersebut turut mengangkat nama UiTM sebagai antara kontinjen paling menyerlah pada temasya SUPANUN 2026.

 



Source link

OR

Scroll to Top