am@hmetro.com.my
Kuching: Dua wanita maut selepas tercampak keluar dari kereta dinaiki dalam kemalangan membabitkan Perodua Myvi dan lori di Jambatan Batang Sadong, Simunjan, hari ini.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi, mangsa yang maut ialah Nurfazilah Ramli, 19, manakala seorang lagi mangsa yang juga wanita masih belum dikenal pasti identitinya.
Pemandu Perodua Myvi terbabit yang berusia 30 tahun cedera dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala pemandu lori berumur 22 tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi yang terletak 20 kilometer dari balai sebelum tiba pada jam 6.51 pagi.
“Akibat perlanggaran itu, dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd





