Landskap politik negara kembali bergolak apabila Parti Islam Se-Malaysia PAS membuat keputusan mengejutkan untuk menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu.
Ia sekali gus mencetuskan reaksi balas dalam kalangan pimpinan Perikatan Nasional Perikatan Nasional.
Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menegaskan bahawa keputusan memutuskan hubungan itu adalah sepenuhnya atas kehendak PAS, sambil menyifatkannya sebagai satu fakta yang tidak boleh disangkal.
“Fakta: Keputusan menghentikan kerjasama politik dan memutuskan hubungan dengan BERSATU adalah atas kehendak PAS,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula tampil memberi jaminan bahawa perjuangan parti itu dalam PN tidak akan tergugat meskipun berdepan ujian politik ketika ini, sambil menyeru ahli parti terus memperkukuh saf kepimpinan.

Terdahulu, PAS mengejutkan arena politik tanah air selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu selepas menilai semula hala tuju dan kedudukan kerjasama antara kedua-dua parti berdasarkan kajian serta laporan semasa.
Artikel lain: BERSATU ‘dicerai’ PAS: Dukacita dengan penamatan kerjasama politik -Muhyiddin
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata keputusan itu dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap kerjasama politik sedia ada.
Susulan itu, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa parti itu akan kekal dalam PN serta terus memperkukuh perjuangan sebagai parti pengasas gabungan berkenaan, selain memberi fokus kepada agenda rakyat walaupun tanpa kerjasama PAS.

Ketegangan terbaru ini dilihat membuka episod baharu dalam dinamik politik pembangkang, khususnya melibatkan masa depan kerjasama dalam PN yang sebelum ini menjadi antara blok utama politik negara.
Sumber: FB Radzi Jidin, Azmin Ali





