Skuad Harimau Malaya akan mengadakan persiapan lebih rapi menjelang perlawanan menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 Jun depan. Foto Malaysia NT
PERSIAPAN skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan penting menentang Vietnam dalam kempen Kelayakan Piala Asia pada Jun ini bukan sesuatu yang dipandang ringan oleh pengurusan skuad negara.
Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan bahawa kem latihan yang telah dirancang adalah satu fasa kritikal dan menjadi aspek utama bagi membentuk strategi mantap menjelang aksi kompetitif tersebut.
Menurutnya, kem latihan kali ini juga bukan sekadar sesi persediaan fizikal atau taktikal semata-mata, malah lebih kepada membina identiti permainan yang kukuh dan ia akan diterjemahkan dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan di ranking lebih baik iaitu Cape Verde.
“Kem latihan yang dirancang adalah fasa penting bagi persiapan menghadapi perlawanan menentang Vietnam.
“Ia bukan sekadar persiapan, tetapi lebih kepada membina corak permainan dengan matlamat yang jelas,” katanya.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Harimau Malaya akan menentang Cape Verde yang berada di ranking ke-72 dunia dalam dua aksi persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei dan aksi perlawanan latihan secara tertutup tanpa penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 Jun.
Dalam pada itu, Cklamovski juga menjelaskan pasukan negara akan memastikan perlawanan menentang Cape Varde akan menjadi aksi yang membuktikan Harimau Malaya mampu bersaing dengan pasukan di ranking yang lebih baik.
“Kami mahu tunjukkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa inilah pasukan yang kami bina iaitu dengan pendekatan agresif, pantas serta menarik dan bersedia untuk bersaing dengan pasukan terbaik dunia.
“Jadi, kepada semua rakyat Malaysia ayuh bersama kami, beri sokongan dan semarakkan semangat pasukan negara,” katanya.