am@hmetro.com.my
Foto Syaherah Mustafa
Rantau Panjang : Penduduk memohon supaya bahagian kecil benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB), di sini, yang pernah runtuh akibat banjir tahun lalu dibuka sementara untuk mengelak banjir besar berlaku.
Banjir yang berlaku sebelum ini menyebabkan benteng sepanjang 100 meter (m) runtuh akibat aliran arus yang deras sekali gus meredakan bah besar yang melanda beberapa penduduk di sekitar Rantau Panjang, namun ia mula dibina semula pada pertengahan tahun ini.
Penasihat Undang-undang Jawatankuasa Bertindak Banjir, Mohd Ridzuan Muhamad berkata, satu program dialog bersama penduduk dan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diadakan pada Ogos lalu bagi membincangkan perkara terbabit.
Katanya, bagaimana pun, pihak berkaitan hanya bersetuju mengekalkan pembinaan sedia ada tanpa perlu memecahkan sebahagian benteng terbabit sebaliknya dibiarkan runtuh secara alami atas alasan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.
“Akibat hujan lebat beberapa hari lalu, Sungai Lachang, di sini, menunjukkan paras air yang semakin tinggi, sekali gus membincangkan penduduk sekitar, tambahan pula keadaan akan semakin parah jika air Sungai Golok memasuki kawasan ini.
“Semalam, kami sudah menghubungi pihak JPS memaklumkan keadaan semasa dan terdapat kerja-kerja meratakan kawasan benteng sepanjang 100m terbabit dengan harapan semoga arus banjir dapat mengalir bagi mengelak banjir besar.
“Namun, kami menjangkakan tindakan berkenaan tidak dapat membantu melainkan kawasan berkenaan terus ‘dipecahkan’ sementara supaya air mengalir dengan baik sekali gus mengurangkan banjir besar di kedua-dua kawasan membabitkan perkampungan di Pasir Mas dan Rantau Panjang,” katanya ketika ditemui di benteng PLSB, semalam.
Mohd Ridzuan berkata, selain banjir besar luar biasa, benteng ini juga menyebabkan bah termenung yang mengambil tempoh lebih sebulan sekali gus menimbulkan pelbagai masalah serta ancaman keselamatan.
Sementara itu, bagi penduduk, Mohd Hirwan Faizal Che Rajiuon, 42, dia hanya mampu berdoa semoga banjir kali ini tidak seteruk tahun lalu yang mana kediamannya yang paling dekat dengan benteng PLSB tenggelam sepenuhnya.
“Sejujurnya penduduk sudah tidak mampu berbuat apa-apa, pelbagai permohonan sudah dihantar kepada pihak berkaitan namun masih tiada jalan penyelesaian. Akhirnya, hampir setiap tahun kami terpaksa menyaksikan satu-satunya tempat kami berlindung musnah ditenggelami air.
“Setakat hari ini, (semalam) kawasan penempatan saya di Kampung Tersang masih belum banjir tetapi jika hujan terus melanda dan paras Sungai Golok serta Sungai Lachang meningkat, kami perlu bersedia meninggalkan kediaman masing-masing.
“Jika permohonan kami untuk membuka dulu laluan air di benteng ini diluluskan, pastinya kami lebih tenang berhadapan banjir namun apakan daya syarat yang sudah ditetapkan kini tidak mampu menyelamatkan harta malah nyawa kami sendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






