February 25, 2024

Bayi dua bulan perlukan RM80,000 bagi pembedahan jantung

BUKIT MERTAJAM – Seorang bayi lelaki yang dilahirkan pramatang memerlukan sumbangan RM80,000 untuk membiayai kos pembedahan jantung dengan segera.

Lebih menyedihkan meskipun sudah berusia dua bulan, Mohammad Rizqi Ramadhan Mohammad Hafiz tidak pernah didukung mahupun dicium sekali pun oleh ibu bapanya kerana telah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) sejak dilahirkan.

Bapanya, Mohammad Hafiz Mohammad Abdul Ghani, 40, berkata, Mohammad Rizqi dilahirkan dengan berat badan 1.88 kilogram (kg) dan terpaksa ditempatkan di inkubutor bayi sampai tempoh matang.

Mohammad Hafiz bersama isterinya meminta bantuan One Hope Charity bagi mengumpul dana pembedahan jantung anak mereka.

Jelasnya, selepas sebulan di inkubutor, doktor mendapati kandungan oksigen dalam badan anaknya merosot dengan mendadak sebelum dikesan mempunyai sindrom bayi biru dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Hasil pemeriksaan lanjut doktor HPP mengesahkan Mohammad Rizqi mempunyai masalah jantung Kecacatan Septum Atrium (ASD) dan Aorto-pulmonary Window (APW).

“Namun doktor memberitahu anak saya masih mempunyai peluang untuk diselamatkan dan pembedahan segera penting bagi mengelakkan kemerosotan organ lain selain jangkitan kuman pada paru-parunya,” katanya yang menetap di Kubang Semang di sini.

Tambah Mohammad Hafiz, dia dan isterinya, Nurul Hayati Hasan Azhari tidak mampu menangung kos pembedahan tersebut yang berjumlah RM80,000.

Bayi lelaki itu ditempatkan di NICU sejak dilahirkan.

“Saya bekerja sebagai operator kilang dengan pendapatan bulanan RM1,500 manakala isteri saya suri rumah sepenuh masa.

“Justeru, kami meminta bantuan daripada One Hope Charity & Welfare untuk mengutip dana sumbangan orang awam bagi membantu biayai kos pembedahan anak kami,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya akan membantu mengutip dana RM80,000 bagi membantu kos pembedahan Mohammad Rizqi.

“Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan buat Mohammad Rizqi boleh menghubungi One Hope Charity & Welfare menerusi talian 016 419 2192, 04 539 9212, 018 911 4192 atau melayari  https://www.onehopecharity.org untuk maklumat lanjut.

“Sumbangan juga boleh disalurkan melalui akaun Public Bank ONE HOPE CHARITY 3193433435. Semua sumbangan berjumlah RM50 ke atas akan mendapat resit pengecualian cukai,” katanya. – MalaysiaGazette

OR

Scroll to Top