February 25, 2024

Bekalan elektrik, air Johor cukup untuk industri, pelaburan – Onn Hafiz

PASIR GUDANG –  Bekalan elektrik dan air di Johor lebih daripada mencukupi bagi menampung keperluan rakyat dan permintaan industri serta pelaburan di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, setakat ini bekalan kapasiti elektrik terpasang di Johor ialah 10,476 megawatt (mw), jauh lebih tinggi berbanding permintaan maksimum iaitu 2,804 mw.

Katanya, 75 peratus bekalan elektrik ini boleh dimanfaatkan pelbagai sektor ekonomi di Johor termasuk kawasan perindustrian dan pertumbuhan.

“Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga menggunakan kaedah persefahaman dengan pemaju bagi membangunkan infrastuktur baharu melibatkan kos ditanggung pemaju dan TNB secara 50-50.

“Namun selepas pemaju mencapai penggunaan yang ditetapkan wang kos akan dikembalikan. Kaedah itu dapat merancakkan pengembangan kawasan perindustrian.

“Sementara itu untuk bekalan air, Ranhull SAJ memaklumkan ada 16 projek masih lagi berjalan dan ini termasuk tiga projek dalam bentuk kajian, manakala 13 projek sudah mempunyai peruntukan pelaksanaan. Dari segi jangka pendek dan sederhana permohonan perindustrian untuk air ini mencukupi,” katanya.

Terdahulu beliau melakukan lawatan kerja di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kota Masai dan Empangan Layang di Pasir Gudang.

Katanya, satu daripada 13 projek ini telah pun siap manakala, selebihnya akan siap secara berperingkat pada tahun ini dan tahun depan.

Projek-projek itu melibatkan penambahan kapasiti bekalan air sebanyak 1,170 juta liter sehari dan menambahkan rizab air sebanyak 18 peratus. 

Beliau yakin dengan bekalan yang mencukupi bagi kedua-dua utiliti ini, kerajaan negeri yakin dapat menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di Johor, sekali gus menafikan khabar angin yang mendakwa bekalan air dan elektrik di Johor tidak mencukupi.

TNB mempunyai sebanyak 105 PMU, 108 Pencawang Pembahagian Utama (PPU) dan 15,643 Pencawang Elektrik (PE) di Johor yang meliputi 12 kawasan perniagaan seluruh negeri ini. – MalaysiaGazette

 

OR

Scroll to Top