Belum fikir lagi tentang masa depan – Glasner

Belum fikir lagi tentang masa depan – Glasner


Leipzig: Pengendali Crystal Palace FC, Oliver Glasner mengakui belum membuat sebarang perancangan mengenai masa depannya selepas mengendalikan perlawanan terakhir bersama kelab itu.

Glasner menutup tirai kariernya bersama Palace dengan penuh gemilang apabila membimbing pasukan itu menjuarai Liga Konferens UEFA selepas menewaskan Rayo Vallecano di Leipzig, awal pagi tadi.

Kejayaan itu turut menyaksikan Palace meraih trofi ketiga sejak Glasner mengambil alih pasukan pada 2024 selepas sebelum ini menjuarai Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Spekulasi mengenai masa depan jurulatih dari Austria itu semakin hangat sejak dia mengumumkan bakal meninggalkan kelab pada Januari lalu dengan beberapa laporan mengaitkannya dengan perpindahan ke kelab lain dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selain kemungkinan kembali ke Jerman.

Bagaimanapun, Glasner menegaskan fokus utamanya ketika ini hanyalah untuk meraikan kejayaan bersama pemain dan bukannya memikirkan destinasi seterusnya dalam karier kejurulatihannya.

“Saya tidak mahu bercakap lagi mengenai kelab lain kerana saya merasakan tanggungjawab untuk memberikan 100 peratus kepada Palace.

“Saya juga belum memikirkan apa-apa selepas hari esok. Hari ini adalah hari untuk meraikan kejayaan dan sesiapa yang mengenali saya tahu saya hanya fokus kepada final ini,” katanya.

Menurut Glasner, beliau kini mahu menikmati detik kemenangan bersama pemain sebelum pulang ke London dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Saya benar-benar mahu melepaskan segala tekanan dan saya akan meraikannya bersama pemain.

“Esok saya akan terbang pulang ke London sebelum kembali bersama keluarga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top