mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Isyariana Azmi, 35, memaklumkan terkejut apabila ditawarkan memegang watak lasak menerusi drama terbaharu untuk tayangan slot Cerekarama TV3.
Isyariana berkata, watak sebegitu sudah lama diimpikan, namun dia melihat sukar diperolehi apabila membuat keputusan untuk mengenakan tudung.
“Saya bawa watak inspektor polis yang bertudung dan boleh buat watak aksi. Alhamdulillah… ingatkan saya dah bertudung, tak dapatlah (watak) drama atau filem yang boleh lawan-lawan, main tumbuk-tumbuk itu.
“Sebab orang fikir saya sudah bertudung tak sesuai, tapi rupanya ada lagi rezeki saya untuk dapat watak yang macam itu. maksudnya shooting macam itulah. Alhamdulillah.
“Sebelum bertudung, saya memang impikan watak jadi fighter dan kena berlawan. Saya memang minatlah,”” katanya.
Isyariana bagaimanapun tidak berpeluang mendapat watak sebegitu dan hanya memperolehi peranan yang kecil.
“Macam filem Saka Perawan, saya dapat sikit buat aksi. Tapi saya memang nak berlakon, watak begitu. Bila dah bertudung, saya sudah lupakan cita-cita itu.
“Tapi dalam masa yang sama, saya masih lagi akan cergas buat apa-apa training yang selalu diamalkan. Cuma saya dah tak ada cita-cita untuk babak begini.
“Sebab saya rasa macam Malaysia mungkin takkan ambillah orang-orang bertudung ini kan, tapi akhirnya ada. Saya sangat bersyukur,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






