February 25, 2024

Dua beranak maut Perodua Myvi bertembung treler

ROMPIN: Dua beranak maut selepas kereta jenis Perodua Myvi dinaiki bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 145 Jalan Kuantan-Johor Bahru di sini awal pagi hari iji.

Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu, pemandu Perodua Myvi, Azirul Azeem Mazri, 30, dan anaknya, Muhammad Adhwa yang berusia 10 bulan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Azahari Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Kuantan.

“Apabila sampai di tempat kejadian kereta Perodua Myvi dipercayai memotong kenderaan lain dan masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan treler dari arah Kuantan ke Johor Bahru.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang kenderaan itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” katanya di sini hari ini.

Tambah Azahari, seorang lagi penumpang Perodua Myvi yang merupakan wanita berusia 30 tahun tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya mayat mangsa dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan rata dan semasa kejadian cuaca baik dengan permukaan jalan kering. – UTUSAN

OR

Scroll to Top