February 25, 2024

Dua lelaki tidak mengaku miliki dua senapang angin

am@hmetro.com.my

Jempol: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bahau, hari ini terhadap pertuduhan memiliki dua laras senapang angin buatan sendiri.

Rahmad Wagi, 29, dan Rusdy Rosli, 25, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.

Mereka dituduh secara bersama memiliki dua laras senapang angin buatan sendiri tanpa lesen sah di pondok dalam kebun getah di Felda Lui Selatan pada 2 petang, 20 Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diberi jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Julai depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Salwati Abdullah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

OR

Scroll to Top