Gandingan Aaron-Wooi Yik akan bertemu rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di separuh akhir Masters Malaysia esok. Foto Bernama
MALAYSIA sudah mengesahkan sekurang-kurangnya satu wakil ke final acara beregu lelaki Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2026 apabila dua pasangan utama negara bakal membuat perhitungan di separuh akhir, esok.
Beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan berdepan pasangan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam aksi tumpuan di Unifi Arena, Bukit Jalil.
Sze Fei-Izzuddin terlebih dahulu mengesahkan tempat dalam kelompok empat terbaik selepas menundukkan pasangan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi 21-17, 16-21, 21-16 dalam tempoh 53 minit.
Pasangan ranking kesembilan dunia itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum memastikan kemenangan dalam pertarungan tiga set.
Aaron-Wooi Yik kemudian melengkapkan kemaraan negara apabila menewaskan pasangan China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi 21-15, 21-16 dalam tempoh 34 minit.
Pertembungan sesama sendiri itu dijangka sengit memandangkan kedua-dua pasangan kini berada dalam prestasi terbaik selepas turut mencipta kemaraan konsisten dalam beberapa kejohanan sebelum ini.
Sze Fei-Izzuddin sebelum ini mara ke separuh akhir Terbuka Thailand minggu lalu, manakala Aaron-Wooi Yik terus membuktikan status mereka sebagai antara beregu paling konsisten negara musim ini.






