February 25, 2024

Gagal potong kereta lain, dua beranak maut Myvi bertembung treler

Seorang bapa bersama bayi lelakinya maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 145 Jalan Kuantan-Johor Bahru, Rompin, Kuantan kira-kira jam 1.15 pagi Rabu.

Menurut laporan Berita Harian, mangsa meninggal dunia adalah pemandu kereta jenis Perodua Myvi iaitu Azirul Azeem Mazri, 30, dan anaknya Muhammad Adhwa yang berusia 10 bulan.

Berita duka pemergian dua beranak itu turut dikhabarkan oleh abang Allahyarham Azirul Azeem, Muhammad Azmin Mazri menerusi sebuah hantaran di laman Facebook pagi tadi.

Menerusi hantaran sekeping gambar itu, Muhammad Azmin menitipkan doa selain meminta orang ramai sedekahkan al-Fatihah untuk kedua-dua mangsa.

“Al-Fatihah untuk arwah adik Azirul Azeem dan anak saudara saya arwah Adhwa yang telah meninggal dunia sebentar tadi dalam kemalangan jalan raya.
“Berehatlah wahai adik. Allah lebih sayangkan kamu. Untuk yang mengenali arwah adik saya, jika ada salah silap harap dimaafkan, jika termakan terminum minta halal dunia akhirat, jika belum terlangsai hutangnya mohon berhubung dengan saya.
“Marilah kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah buat arwah Azirul Azeem dan Muhammad Adhwa. Doakan balu arwah sentiasa tabah,” tulisnya.

Hantaran tersebut mendapat 142 perkongsian dan 217 komen yang dihujani ucapan takziah dalam kalangan warganet terdiri daripada rakan serta kenalan rapat.

Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar, kereta dipandu Azirul Azeem bersama isteri dan anak dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Kuantan.

Azirul Azeem dipercayai memotong kenderaan lain dan memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, Azirul Azeem disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anaknya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Rompin,” katanya.

Mohd Azahari berkata, isteri mangsa Farah Nasuha Johari, 30, tidak mengalami kecederaan manakala pemandu treler yang berusia 30 tahun cedera ringan.

“Kes kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.

Difahamkan, seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit, manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Rompin.

Sumber: Berita Harian (Asrol Awang), Facebook Muhammad Azmin Mazri, Azirul Azeem Mazri & Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

OR

Scroll to Top