sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mengingatkan anak buahnya untuk menampilkan gaya permainan yang lebih menyakinkan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Cabaran menentang Penang FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), esok.
Jelasnya, objektif utama setiap pemain dan pasukan adalah berusaha untuk mendapatkan kemenangan di halaman sendiri sekali gus memastikan Red Giants ke pentas akhir.
“Saya beritahu kepada pemain, matlamat utama kita adalah kemenangan kerana pada saya, setiap perlawanan, kita dapat belajar sesuatu dan kita akan melakukan analisis mengenai permainan hari itu untuk ditambah baik pada aksi seterusnya.
“Sebab itu, kami berharap cuaca akan lebih baik pada hari perlawanan, namun tugas pemain adalah fokus kepada prestasi, strategi dan taktikal yang sudah dirancang semasa latihan,” katanya.
Selain itu, jurulatih kelahiran Jepun itu juga mengharapkan sokongan penuh daripada penyokong kerana kehadiran mereka ke stadium mampu meningkatkan motivasi setiap pemain sekali gus membantu mereka menampilkan aksi lebih cemerlang.
Pada aksi separuh akhir pertama di gelanggang lawan sebelum ini, Selangor hanya membawa bekalan kemenangan tipis 1-0 menjelang perlawanan esok.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan peluang kedua-dua pasukan untuk memburu slot ke final masih terbuka.
© New Straits Times Press (M) Bhd