February 25, 2024

Guna TikTok, WeChat jual dadah

JOHOR BAHRU: Sindiket pengedaran dadah dikesan menggunakan media sosial seperti TikTok dan WeChat secara terbuka bagi mempromosi dan mencari pelanggan mereka.

Sindiket yang aktif beroperasi sejak Mac lalu turut menawarkan potongan harga kepada pelanggan sekiranya membuat tempahan dalam jumlah yang banyak.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Polis M. Kumar berkata, sindiket itu akhirnya tumpas setelah lapan individu ditahan termasuk dalang sindiket dalam empat serbuan berasingan antara 12 tengah hari Ahad lalu hingga 3.20 petang, Isnin lalu di sekitar Johor Bahru.

WANITA

Dalam kesemua serbuan tersebut, polis menahan lima lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang wanita warganegara asing berusia antara 19 hingga 67 tahun.

“Modus operandi sindiket pengedaran dadah ini adalah dengan menggunakan aplikasi TikTok untuk mencari pelanggan dan menggunakan aplikasi WeChat untuk berurusan lanjut dengan pelanggan. Setelah membuat tempahan dan pembayaran secara dalam talian, sindiket terbabit akan meninggalkan bekalan dadah di satu lokasi untuk diambil oleh pelanggan mereka.

“Mereka turut membungkus semula bekalan dadah itu serta memproses dalam bentuk cecair dan botolkan dalam bekas minuman berperisa bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Kumar memberitahu, dalam siri serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah iaitu 10.65 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 914.2 gram (g) ketamin, 118 biji pil ekstasi, 100 biji pil erimin 5, 5.85 liter cecair ekstasi dan 8.3g ganja yang dianggarkan bernilai RM926,644.

RAMPAS

Pihaknya turut merampas sebuah mesin pengadun, wang tunai termasuk dolar Singapura berjumlah RM13,648 serta dua buah kereta.

“Sindiket ini turut menyewa sebuah kondominium di kawasan berpagar dan berpengawal sebagai tempat pembungkusan dan stor penyimpanan dadah untuk diedarkan ke pasaran tempatan.

“Hasil saringan urin mendapati lima suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin. Hasil semakan rekod mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya.

Katanya, walaupun dalang sindiket sudah diberkas, operasi masih diteruskan bagi mengesan saki baki ahli sindiket tersebut dan kesemua suspek kini direman selama seminggu hingga Ahad ini.

“Bekalan dadah itu dipercayai diperolehi daripada pasaran tempatan dan boleh digunakan oleh seramai 59,797 penagih,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. –  UTUSAN

OR

Scroll to Top