February 25, 2024

Hatrik Arif Aiman bantu JDT mara ke final Piala FA

ISKANDAR PUTERI – Jaringan hatrik pemain muda sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi membantu juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), melangkah ke pentas final Piala FA selepas menewaskan Selangor FC 4-0 pada perlawanan separuh akhir di sini, malam ini.

Pada aksi tumpuan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu, Arif Aiman yang meledak empat gol bersama skuad kebangsaan minggu lalu, hanya memerlukan 18 minit pada separuh masa pertama untuk menjaringkan tiga gol, ketika berhadapan skuad Gergasi Merah bimbingan Tan Cheng Hoe.

Pemain sayap berusia 21 tahun itu, menjaringkan gol pembukaan skuad Harimau Selatan pada minit ke-20, selepas melepasi kawalan pemain pertahanan Quentin Cheng dengan larian pantasnya dari tengah padang, sebelum melepaskan rembatan menewaskan Mohd Khairulazhan Mohd Khalid di gawang.

Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan musim lepas itu, kemudian meledak jaringan peribadi keduanya menerusi percubaan dari luar kotak penalti pada minit ke-33, selepas menampilkan kawalan bola yang baik untuk menembusi barisan pertahanan Selangor.

Beliau meraih hatrik lima minit berselang, apabila memanfaatkan hantaran rakan sepasukan Fernando Forestieri untuk menewaskan Mohd Khairulazhan buat kali ketiga, sekali gus menambah derita pasukan pelawat.

Bersambung babak kedua, JDT yang dibimbing Esteban Solari terus ghairah memburu gol yang menyaksikan Forestieri berjaya mencetak nama sebagai penjaring dua minit, selepas rehat.

Selangor yang tumpul di babak pertama memiliki beberapa peluang keemasan untuk mengurangkan defisit gol, terutama menerusi pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim, namun dua percubaannya dari jarak dekat berjaya dinafikan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Kedudukan 4-0 kekal sehingga wisel penamat, untuk membolehkan JDT mara ke final sekali gus berpeluang mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka, musim lalu.

Menanti JDT di pentas final adalah Kuala Lumpur (KL) City FC. – Bernama

OR

Scroll to Top