February 25, 2024

Kami tidak berhutang dengan mana-mana jurulatih – Perak FC

KUALA LUMPUR – Perak FC menegaskan pihaknya tidak menahan gaji mahupun berhutang sebarang bayaran kepada mana-mana pekerja, pemain, atau jurulatih.

Penegasan itu dibuat Perak FC susulan tindakan bekas ketua jurulatihnya, Datuk Lim Teong Kim yang mengemukakan representasi aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) mengenai pemecatan atau penamatan kontrak beliau serta-merta daripada mengendalikan pasukan itu yang didakwanya dibuat secara tidak sah.

Malah, bekas jurulatih yang pernah mengendalikan kelab remaja Bayern Munich menuntut Perak FC membayar baki 16 bulan gajinya.

“Perak FC tidak akan mengulas lanjut dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Lim dalam segala urusan beliau di masa hadapan,” kata pengurusan kelab bolasepak itu menerusi satu kenyataan di sini.

Kenyataan sama turut memaklumkan, Perak FC mengambil maklum berkenaan sidang media yang dibuat oleh Teong Kim di pekarangan JPPM, semalam.

Kata kenyataan itu, seperti diumumkan sebelumnya, keputusan melepas Teong Kim dilepaskan daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih berada di pihak peguam kelab bola sepak itu untuk diselesaikan.

Teong Kim menyifatkan penamatan kontraknya yang dibuat secara serta-merta pada 24 Mei lalu adalah penamatan secara pramatang dan tidak sah.

Ini kerana kontrak bersama Perak FC seharusnya untuk dua tahun namun hanya berlansung selama lapan bulan.

Beliau turut menuntut supaya pengurusan pasukan Perak FC melunaskan baki bayaran gaji 16 bulan iaitu bermula dari tarikh pemecatan sehingga tarikh sepatutnya kontrak dua tahun mengendalikan pasukan itu tamat.. – MalaysiaGazette

OR

Scroll to Top