February 25, 2024

Kecederaan lutut hantui Mollie menjelang kejohanan dunia

Sydney: Perenang Australia, Mollie O’Callaghan, yang mencatat masa terpantas tahun ini dalam kedua-dua acara 100 dan 200 meter gaya bebas, mengalami kecederaan lutut beberapa minggu sebelum kejohanan dunia di Jepun.

Dia yang memenangi acara 100m gaya bebas pada kejohanan dunia tahun lalu di Budapest, mengalami kecederaan itu semasa melakukan regangan dan menjalani program latihan yang diubah suai, kata jurulatih Australia, Rohan Taylor.

“Semuanya kelihatan baik untuk dia berada di kejohanan dunia, dan tidak ada yang mengatakan dia tidak akan ke sana,” kata Taylor kepada akhbar The Australian.

“Dia tetap menjalani latihan di dalam kolam dan hanya perlu memastikan tidak ada perkara yang memburukkan lagi kecederaannya. Kami mempunyai masa sebulan sebelum perlumbaan bermula, jadi kami sangat berharap dia akan bangkit dan sembuh tanpa sebarang masalah.

“Pada ketika ini tidak perlu memikirkan apa-apa tetapi dia semakin sembuh dan tidak ada isu sebenar yang boleh saya lihat atau yang saya dengar. Saya fikir ia hanya terkehel, sedikit menakutkan dan hanya perlu diuruskan. Tetapi tidak ada yang mengatakan dia tidak akan berada di kejohanan dunia.”

Renang akan dipertandingkan di Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka bermula pada 23 Julai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

OR

Scroll to Top