February 25, 2024

Kemenangan kes tuntutan kumpulan Sulu, bukti kerajaan berjaya pertahan kedaulatan negara

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Kemenangan di mahkamah antarabangsa dalam kes tuntutan kumpulan Sulu terhadap Malaysia membuktikan kerajaan berjaya mempertahankan hak, harta dan kedaulatan negara .

Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kemenangan Malaysia di Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda dan Mahkamah Rayuan Paris di Perancis boleh menjadi pengakhir kepada segala usaha pihak tidak bertanggungjawab yang cuba merampas dan menggugat kedaulatan negara ini.

“Ini juga membuktikan dakwaan kumpulan itu tidak berasas, gagal dan tidak boleh dilayan,” katanya dalam satu kenyataan mengulas kemenangan Malaysia dalam kes tuntutan kumpulan Sulu terhadap Malaysia di Mahkamah Rayuan The Hague, semalam.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, kemenangan itu lebih dirasai rakyat Sabah yang selama ini dihantui dengan tuntutan Sulu hingga ada pihak mendakwa kes itu dipolitikkan dan akan panas apabila pilihan raya.

“Kejayaan ini sudah tentu adalah hasil kerjasama antara pihak terbabit yang berusaha dan bersatu hati dalam mempertahan hak, harta serta kedaulatan Malaysia,” katanya.

Bung Moktar turut membangkitkan isu tuntutan Sulu ketika persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini dan berharap kerajaan komited untuk menanganinya kerana sudah sekian lama berlarutan.

Pada 6 Jun lalu, Malaysia melakar sejarah selepas Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diputuskan oleh penimbang tara antarabangsa, Dr Gonzalo Stampa dan memutuskan Stampa terkhilaf dalam melaksanakan bidang kuasanya.

Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda semalam pula menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di negara itu.

Award itu diberikan Stampa pada 28 Februari 2022 kepada lapan individu yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu.

Bung Moktar berharap isu tuntutan Sulu yang menghantui rakyat Sabah sejak sekian lama termasuk peristiwa berdarah Pencerobohan Pengganas Sulu di Tanduo, pantai timur Sabah pada 2013 akan berakhir sekali gus melenyapkan kebimbangan rakyat Sabah selama ini terhadap isu tuntutan yang tidak berasas dan tidak sah itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

OR

Scroll to Top