Liga Super: Negeri Sembilan sedia bangkit di Paroi

Liga Super: Negeri Sembilan sedia bangkit di Paroi


KUALA LUMPUR – Kekalahan dalam dua aksi Liga Super dan Piala FA pada musim ini nyata menggusarkan Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC, Azzmi Ab. Aziz yang mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas prestasi yang tidak memberangsangkan buat skuad Jang.

Azzmi mengakui, kekalahan di tangan Selangor FC dalam saingan Piala FA minggu lalu sukar untuk diterima lebih-lebih lagi dengan aksi yang ditampilkan pemainnya yang dianggap tidak fokus dan gagal mempamerkan karakter sebenar di atas padang.

“Setakat tiga perlawanan ini, apa yang saya boleh katakan, karakter dalam pasukan ini perlu lebih baik terutama apabila bertahan sebab, itu adalah punca yang kita kenalpasti.”

“Bolos tujuh jaringan dalam tiga perlawanan pertama adalah sangat tidak baik dan secara teknikal barisan pertahanan tidak berjaya bermain dan menunjukkan karakter yang betul,” katanya kepada Malaysia Football League di sini, hari ini.

Mengulas tentang prestasi pemain import, Azzmi menyatakan beliau masih menagih kualiti dan pengalaman sebenar pemain import pasukan itu yang dilihat masih belum mempamerkan aksi terbaik setakat ini.

Beliau memuji usaha keras pemain import seperti Takumi Sasaki, Miguel Angel Junco Martínez serta Jacque Faye namun masih menantikan aksi yang lebih baik dan bertenaga di atas padang.

“Sebagai pemain import, mereka perlu berkerja lebih keras dan harus sedar saingan dalam liga ini tidak mudah,” jelas Azzmi.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 48 tahun itu menyatakan, skuadnya menyedari kesilapan yang dilakukan dalam tiga perlawanan lepas dan sedang melakukan persiapan yang lebih baik untuk memburu tiga mata pertama menentang pasukan Kuala Lumpur City FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman pada Jumaat ini

Azzmi dalam temubual juga berkongsi, anak buahnya perlu mendapatkan mata dalam perlawanan menentang KL City untuk mengembalikan semula motivasi yang akan menjadi momentum terbaik untuk dibawa ketika berdepan Sri Pahang FC di Temerloh.

“Kita tahu kita bukan dalam keadaan yang baik, namun semua pemain yang akan bermain nanti perlu sedar dengan tangunggjawab yang diberi memandangkan kita terdesak untuk mendapatkan mata dalam perlawanan ini.” tambahnya.

Beliau menyeru kehadiran penyokong setia Negeri Sembilan ke stadium memandangkan itu akan menjadi motivasi terbesar pemain untuk menghadapi KL City dalam misi memburu kemenangan di Paroi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top