February 25, 2024

Liridon kena kecam gara-gara sepakan penalti

KUALA LUMPUR – Penyokong Terengganu FC (TFC) meluahkan rasa kecewa dengan pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi yang gagal menyempurnakan sepakan menyebabkan pasukan itu tersingkir pada pusingan separuh akhir Piala FA malam tadi.

Langkah skuad Penyu terhenti pada separuh akhir apabila tewas 4-2 kepada Kuala Lumpur (KL) City menerusi penentuan penalti selepas aksi berkenaan berkesudahan tanpa jaringan.

Lebih mengecewakan kekalahan naib juara Piala FA itu diratapi di gelanggang keramat mereka, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang dibanjiri lebih 26,000 penonton.

Lebih 20,000 penonton hadir ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala FA antara Terengganu FC dan KL City.

Berdasarkan tinjauan di laman Facebook rasmi kelab, ramai pengguna media sosial dipercayai penyokong skuad Penyu mengkritik dan tidak kurang juga menyindir persembahan yang dipamerkan Krasniqi dalam perlawanan itu.

Krasniqi atau lebih dikenali sebagai Mat Don diturunkan dalam kesebelasan utama dan gagal menyudahkan sepakan penalti keempat TFC sebelum pemain KL City, Giancarlo Gallifuoco menyempurnakan sepakan terakhir untuk membawa City Boys ke final.

Antara komen yang ditinggalkan netizen termasuk sepakan yang lemah seperti tidak ‘makang’ (makan) setahun. – MalaysiaGazette

OR

Scroll to Top