Klang : Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata media memainkan peranan penting sebagai rakan strategik Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dalam memastikan pentadbiran yang telus, efektif dan responsif kepada lebih sejuta penduduk daerah itu.
Beliau menyifatkan laporan, rencana dan visual dihasilkan media bukan sekadar menyampaikan maklumat malah menjadi sebahagian daripada sistem semak dan imbang sekali gus membantu pihak majlis bertindak pantas terhadap isu setempat.
Katanya, liputan mengenai pembuangan sampah haram, anjing liar, kesesakan lalu lintas dan isu kebersihan memberi ruang kepada pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan sewajarnya.
“Kami amat menghargai kerjasama media sepanjang tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya, yang disifatkan sebagai tonggak penting dalam menyampaikan maklumat tepat kepada warga Klang.
“Untuk rekod daerah ini baru sahaja menyambut ulang tahun kedua sebagai Bandar Raya Diraja, sebuah status yang hadir bersama cabaran besar namun disertai deretan pencapaian membanggakan,” kata Abd Hamid berucap pada Malam Apresiasi Media MBDK di Royal Selangor Yacht Club, Pelabuhan Klang baru-baru ini.
Tambahnya, pihaknya berharap sokongan berterusan daripada media untuk memberikan liputan seimbang, adil dan membina dalam usaha menjayakan agenda pembangunan daerah itu.
Pada majlis itu, Abd Hamid turut menyampaikan Anugerah Media MBDK sebagai pengiktirafan kepada pengamal media dan merakamkan penghargaan kepada semua yang terbabit dalam menjayakan majlis itu.
Acara turut diserikan dengan penampilan artis popular, Liza Hanim bersama anaknya Marsya apabila masing-masing menyampaikan beberapa lagu termasuk lagu duet sekali gus menghiburkan tetamu yang hadir.
© New Straits Times Press (M) Bhd






