February 25, 2024

Pejabat JSJ terbakar: Polis tunggu laporan forensik bomba

IPOH: Punca kebakaran pejabat Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak semalam, masih dalam siasatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya kini menunggu laporan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkaitan kejadian itu.

“Kita telah menyerahkan kepada forensik bomba untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran.

“Kita juga telah minta bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk bekerjasama dengan bomba bagi mengenal pasti tahap keselamatan (bangunan) dan lain-lain laporan berkaitan kebakaran,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, kejadian kebakaran itu sedikit menjejaskan penugasan JSJ Perak namun ketua jabatan berkenaan telah bekerjasama dengan cawangan lain termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dari segi logistik bagi membantu D4 menjalankan tugas dan menyiapkan laporan seperti biasa.

Katanya, pihaknya juga sedang mengenal pasti barang kes mahupun dokumen yang musnah dalam kebakaran berkenaan.

“Kita belum lagi dapat masuk kawasan kebakaran kerana tidak mahu ganggu pihak forensik bomba menjalankan siasatan.

“Memang ada kebakaran melibatkan dokumen tetapi tidak dapat dipastikan tahap (keseriusan) dokumen tersebut atau peralatan yang musnah dalam kebakaran itu,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 3.14 petang itu, pejabat D4 di tingkat dua terbakar dengan anggaran kebakaran sekitar 40 peratus.

Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian berjaya memadam kebakaran dan mengawalnya daripada merebak dalam tempoh 26 minit. Kejadian tidak melibatkan kecederaan mahupun kehilangan nyawa. – UTUSAN

 

OR

Scroll to Top