February 25, 2024

Penderitaan Hafiz sakit saraf dapat perhatian

KUALA LUMPUR – Penderitaan Muhammad Hafizuddin atau Hafiz yang tular di media sosial kerana penderitaan penyakit saraf sejak lima tahun lalu mendapat perhatian Yayasan Ikhlas (YI).

Ini kerana YI  telah melancarkan kempen murni dipanggil Kempen Bantu Pesakit Sihat (BPS) bagi mengumpul dana termasuk pembiayaan Hafiz selain disalurkan bantuan dan keperluan kepada beberapa pesakit lain.

Pengerusi YI, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, kempen BPS sudah berjalan selama dua tahun lalu yang mana pihaknya  dalam usaha membantu golongan yang tidak berkemampuan ini yang tersisih daripada segi pembiayaan bantuan kewangan dan perubatan.

“Ikutkan sudah ramai pesakit yang pihak kami berjaya bantu sejak kempen ini berjalan dan kes adik Hafiz antara yang terpencil kami usahakan baru-baru ini.

“Kami berusaha mahu membantu dan mengurangkan beban keluarganya. Kami menyeru orang ramai turut sama-sama ambil tanggungjawab bantu menderma dan boleh layari,” katanya memberitahu boleh disumbangkan ke https://bantupesakitsihat.com/bantu-hafiz/.

Keadaan semasa ruang bilik Hafiz yang kelihatan agak daif.

Baru-baru, YI berkunjung ke kediaman adik Hafiz di Kuala Terengganu dan disertai ahli perniagaan serta pempengaruh kontroversi, Ahmad Iqbal Zulkefli.

Malah Iqbal turut memuat naik video di laman Instagramnya mengenai kunjungan terbabit yang menjadi tular di media sosial.

Sementara itu, kesihatan Hafiz, 21, dari Kampung Lorong Haji Da, Batu Buruk dilaporkan merosot sejak terjatuh tangga di sekolahnya ketika berusia 16 tahun.

Walaupun remaja, namun Hafiz berbadan kecil dan kurus kering kerana beratnya hanya sekitar 10 kilogram.

Lima bulan selepas kejadian terjatuh tangga itu, anak bongsu dari lima beradik itu mengalami demam panas sehingga pergerakannya terbatas dan tidak lagi seimbang.

Musibah yang menimpa ini menyebabkan dia tidak dapat mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ahmad Iqbal bersama Hafiz.

Mengulas lanjut, Ahmad Iqbal berkata, sebelum bekerjasama dengan YI, namanya telah dicadangkan dalam kalangan warganet untuk membantu Hafiz dan dia bersyukur urusan itu dipermudahkan.

“Lagipun sementara nama saya dikenali, ia boleh guna peluang ini untuk ajak masyarakat menderma terus ke YI bagi Kempen BPS ini yang turut melibatkan sukarelawan universiti mengemas rumah, membaiki bahagian rosak dan mengecat kediaman, membeli peralatan dapur serta katil khas kepada adik Hafiz.

“Saya berharap lebih ramai pempengaruh atau artis lain dapat turut membantu untuk menyebarkan sebarang mesej yang sebegini. Selain itu, saya juga menyeru orang ramai turut sama-sama menderma sekecil-kecil nilai bermula RM10 seorang,” katanya.

Tambah Ahmad Iqbal lagi, kempen sebegini harus diwar-warkan dengan lebih meluas lagi sebab masih ramai rakyat Malaysia yang tersisih dan memerlukan bantuan.

“Dengan kempen sebegini orang ramai senang mendapat maklumat untuk sama-sama  membantu meringankan beban yang ditanggung.

“Saya puji usaha YI kerana sama-sama mengambil tanggungjawab untuk menjalankan kempen yang lebih besar kesedarannya bagi mempercepatkan bantuan kepada adik Hafiz. Saya lihat YI juga sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang telus menerusi kempen dan usaha dianjurkan,” kata Ahmad Iqbal.

Hafiz di sisi anak saudaranya.

Sementara itu, kisah hidup Hafiz lebih menyayat hati apabila ibunya, Khatijah Muhammad sudah kembali ke rahmatullahi empat tahun lalu akibat penyakit kanser payu udara.

Ketika ini bapanya, Ismail Wahab yang juga seorang pesara berusia 63 tahun mengambil tanggungjawab sepenuhnya menjaga dan menguruskan keadaan anaknya itu.

Mereka tinggal di sebuah rumah yang sangat daif, terletak di Kampung Lorong haji Da, Batu Burok Kuala Terengganu dan bekalan elektrik telah di potong selama setahun.

Ismail menyara hidup dengan bergantung sepenuhnya dari wang pencen yang berbaki RM800 sebulan serta bantuan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bapa Hafiz memerlukan RM2,000 sebulan untuk menanggung kos perubatan anaknya.

Namun sebahagian besar wang pencennya digunakan untuk melunaskan hutang pinjaman bank yang dibuatnya untuk membuka kedai makan sejurus bersara empat tahun lalu.

Namun kedai makan tersebut terpaksa ditutup ekoran kerugian akibat pandemik Covid-19, sekali gus menyebabkannya hilang punca pendapatan. – MalaysiaGazette

OR

Scroll to Top