February 25, 2024

Pengampunan: Anwar, Sanusi diarah fail hujahan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini untuk memfailkan hujahan bertulis masing-masing selewat-lewatnya 26 Julai ini.

Hujahan bertulis itu berhubung permohonan Sanusi yang memohon mahkamah menentukan persoalan berkaitan pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V kepada Ahli Parlimen Tambun itu, lima tahun lalu.

Perkara tersebut dimaklumkan kepada media oleh peguam, Datuk Sankara Nair yang mewakili Anwar selepas pengurusan kes tersebut di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, V.K. Neethiya Nair hari ini.

Turut hadir pada prosiding tersebut ialah peguam Jaden Phoon Wai Ken manakala peguam, Adam Luqman mewakili Sanusi.

Sankara turut memaklumkan mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan jawapan kepada hujahan bertulis itu selewat-lewatnya pada 9 Ogos ini dan tarikh pengurusan kes lanjutan ditetapkan pada 14 Ogos bagi pihak-pihak mengemaskini status pemfailan hujahan tersebut.

Pada 31 Mac lalu, Sanusi memohon mahkamah menentukan persoalan fakta iaitu sama ada pengampunan yang diberikan Yang di-Pertuan Agong kepada Anwar pada 16 Mei 2018 adalah pengampunan penuh yang bukan sahaja mengetepikan keseluruhan hukuman penjara lima tahun tetapi juga sabitan salah.

Sanusi juga memohon mahkamah untuk menentukan persoalan undang-undang, sama ada sesuatu pengampunan yang diberikan Yang di-Pertuan Agong berada di bawah kuasa yang diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang berupaya mengetepikan sabitan jenayah.

Pada 25 April lalu, Anwar dalam afidavit jawapannya berhubung permohonan Sanusi menyatakan permohonan terbabit berada di luar bidang kuasa mahkamah.

Menurut Presiden PKR itu, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 181, memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan adalah kuasa yang tetap dan tidak terjejas.

Beliau menegaskan, pelbagai kes diputuskan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang mendukung prinsip perundangan itu dengan memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh mengesahkan apa-apa keputusan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, ia termasuk keputusan memberikannya pengampunan yang secara langsung membuktikan bahawa mahkamah tidak mempunyai apa-apa bidang kuasa untuk berbuat demikian.

Permohonan Sanusi itu adalah berkaitan kes saman fitnah difailkan Anwar terhadapnya berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkan Ahli Parlimen Tambun dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

Saman fitnah itu difailkan Anwar pada 13 Disember 2022.

Anwar dalam pernyataan tuntutannya berkata, pada 13 November tahun lalu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, memberi ucapan pilihan raya pada ceramah terbabit sebagai menyokong calon PN bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah itu.

Anwar mendakwa, kenyataan berbaur fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan Diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Menurut plaintif, kenyataan-kenyataan itu dibuat dengan berniat jahat bertujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November tahun lalu.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kenyataan terbabit tidak benar dan semua pertuduhan jenayah yang dihadapinya sebelum ini adalah sebahagian daripada konspirasi politik yang dirancang untuk menyingkirkan beliau daripada memegang jawatan awam dan merosakkan karier politiknya. – UTUSAN

OR

Scroll to Top