February 25, 2024

Perak FC sambar pemain import Filipina

KUALA LUMPUR – Perak FC menggunakan perpindahan kedua yang bakal dibuka bermula 12 Julai ini untuk membawa masuk pemain pertahanan import, Jesper Gunnar Fernando Nyholm.

Berita mengenai kehadiran pemain berusia 29 tahun itu disahkan Perak menerusi video pengenalan pemain di laman Youtube TBG TV.

Nyholm merupakan pemain kelahiran Sweden yang mewakili skuad kebangsaan Filipina kerana ibunya mempunyai darah negara Asia Tenggara (ASEAN) tersebut.

Dia mempunyai pengalaman beraksi di pentas bola sepak ASEAN kerana mewakili Muangthong United dalam kancah Liga T1 pada musim 2022-23.

Sebelum itu, Nyholm beraksi di Sweden dengan menyarung kelab liga utama Sweden, AIK Fotboll dan beberapa kelab tempatan seperti Sirius, Gamla Upsala, Dalkurd dan Djurgarden.

Kehadirannya diharapkan mampu membantu ketua jurulatih, Yusri Che Lah dalam menambah kekuatan di jentera pertahanan selepas gawang pasukan dibolosi sebanyak 34 gol.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan skuad kendaliannya pada ketika ini hanya berada di kelompok bawahan liga.

Selepas mengharungi 15 perlawanan Liga Super Malaysia 2023, Perak menghuni tangga ke-11 dengan sembilan mata hasil dua kemenangan dan tiga keputusan seri. – MalaysiaGazette

OR

Scroll to Top