February 25, 2024

Rakyat Malaysia jadi buruh paksa di Filipina diselamatkan

illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Luar mengesahkan rakyat Malaysia antara yang diselamatkan kerana terbabit dalam sindiket buruh paksa hab Philippine Offshore Gaming Operator yang ditumpaskan pihak berkuasa Filipina.

Wisma Putra berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang giat mengenal pasti dan mengesahkan status 134 mangsa yang dipercayai warganegara Malaysia.

Katanya, mereka adalah sebahagian daripada sejumlah 2,714 mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan, buruh paksa dan tahanan salah di negara itu.

“Kedutaan Besar Malaysia di Manila mengesahkan pihak berkuasa Filipina membuat serbuan ke atas sebuah syarikat, dan berjaya menyelamatkan mangsa-mangsa sindiket jenayah terdiri dari pelbagai negara termasuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, rakyat Malaysia yang terbabit juga akan dibawa pulang secepat mungkin.

“Mangsa-mangsa yang dipercayai warganegara Malaysia akan menjalani proses siasatan, dokumentasi dan deportasi ke Malaysia dalam masa terdekat.

“Sebarang maklumat terkini berkaitan perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut laporan CNN Filipina, lebih 2,000 pekerja termasuk warga asing diselamatkan daripada aktiviti penyeludupan manusia, semalam selepas pihak berkuasa melakukan serbuan di hab POGO di Las Piñas City.

Menurut Polis Negara Filipina (PNP), seramai 1,525 adalah warga Filipina manakala mangsa selebihnya berasal dari China, Vietnam, Malaysia, Myanmar, Taiwan dan Singapura.

Serbuan itu dilancarkan selepas kumpulan anti-jenayah siber PNP memperoleh waran untuk menggeledah, merampas dan memeriksa data komputer yang ditempatkan di kompleks POGO.

Difahamkan, pihak polis mempunyai kuasa untuk merampas komunikasi dan data komputer yang dikaitkan dengan kemungkinan pelanggaran Akta Antipemerdagangan Orang Yang Diperluaskan 2012.

© New Straits Times Press (M) Bhd

OR

Scroll to Top