February 25, 2024

Selepas lapan tahun tak jumpa, Awie teruja sambut AidilAdha bersama anak2

Penyanyi rock terkenal, Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman menzahirkan kesyukuran apabila doanya untuk bertemu dua anak setelah sekian lama akhirnya termakbul juga menjelang perayaan AidilAdha esok.

Memetik laporan Kosmo!, penyanyi berusia 54 tahun bersyukur kerana sambutan hari raya AidilAdha pada tahun ini lebih bermakna dengan kehadiran Putra Ahmad Rezzki, 15, dan Puteri Qasseh Atasha, 13, yang kini berada di bawah jagaan bekas isteri, Rozana Misbun.

“InshaAllah, raya Haji yang akan tiba esok berkemungkinan besar membolehkan saya berjumpa dengan dua permata saya yang sudah lama tidak berjumpa.
“Mungkin ini akan menjadi Raya Haji yang sangat istimewa buat kami sekeluarga yang turut teruja menunggu momen itu. Harap-harap dapatlah kami berkumpul,”katanya.

Bagaimanapun, Awie yang juga vokalis Wings mendedahkan dirinya masih belum mendapat maklum balas daripada kedua-dua anaknya sama ada mengenai lokasi atau waktu berjumpa.

“Ke mana nak dibawa berjalan, masih belum tahu lagi. Mereka belum respon lagi. Jika diberikan peluang untuk bawa mereka keluar, saya memang mahu menghabiskan masa berkualiti dengan mereka.
“Sekiranya tidak dibenarkan, dapat tengok atau dibagi peluang melawat untuk setengah hari pun tidak mengapa buat melepaskan rindu,”katanya lagi.

Dedah Awie, setelah sekian lama tidak dapat berhubung akhirnya dia menerima pesanan ringkas daripada anak perempuannya, Qasseh sebaik sahaja pulang daripada mengerjakan ibadah umrah pada Ramadan lalu.

Sebaik sahaja dirinya menerima mesej daripada Qasseh, air mata jantannya jatuh kerana telah lama menanggung kerinduan menatap wajah dan meluangkan masa bersama.

“Selama lapan tahun, langsung kami tidak dapat berhubung. Ada suatu hari, anak saya yang perempuan, Qasseh telah hantar mesej.
“Sebelum anak mesej saya, waktu itu saya berada di Mekah, saya banyak berdoa kepada Allah dan apabila saya balik Malaysia, anak saya mesej membuatkan berderai air mata ini,”luahnya.

Bekas isteri Awie, Rozana Misbun bersama dua anaknya iaitu Putra Ahmad Rezzki dan Puteri Qasseh Antasha

Apa yang membuatkan Awie tersentuh apabila membaca ayat yang diucapkan oleh anaknya dalam kandungan mesej tersebut dengan mengungkapkan rasa rindu serta sayang pada dirinya.

“Assalamualaikum Daddy, ini Qasseh. Apa khabar?, saya sayang dan rindu daddy sangat-sangat,” kongsi Awie dalam nada sayu.

FOTO: Harian Metro / GENES GULITAH

Sekadar info, perkahwinan Awie dan bekas isterinya iaitu Rozana turut dikurniakan Putra Ahmad Merra selain Putra Ahmad Rezzki dan Puteri Qasseh Antasha.

Namun, mereka bercerai pada 1 November 2014 sebelum Awie mendirikan rumha tangga dengan Datin Sharifah Ladyana Syed Shamsudin Al-Qudre pada 2016 dan mempunyai seorang anak lelaki, Putra Ahmad Andeeka, 3.

Dalam pada itu, Awie juga mempunyai dua anak lagi iaitu Putri Aleeya Antasha, 23 dan Putri Aleefa Antasha, 21, hasil perkahwinan dengan pelakon, Arni Nazira sekitar 1998 yang hanya mampu bertahan lapan tahun.

Sumber: Kosmo!  (Muhammad Haikal Ramli)

OR

Scroll to Top