Shakira, Madonna, BTS, Bieber tak dibayar?

Shakira, Madonna, BTS, Bieber tak dibayar?


New York: Final Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina yang berlangsung Isnin ini bukan saja menentukan sama ada Argentina mempertahankan kejuaraan atau Sepanyol merangkul gelaran dunia kedua, malah turut mencipta sejarah menerusi penganjuran persembahan separuh masa buat kali pertama.

Persembahan itu menampilkan barisan artis terkenal dunia iaitu Shakira, Madonna, BTS dan Justin Bieber dalam satu pertunjukan yang dijangka menggabungkan pelbagai generasi serta menambah kemeriahan aksi final yang menjadi tumpuan dunia.

Perkara itu turut menimbulkan persoalan mengenai jumlah bayaran diterima artis terbabit memandangkan FIFA meraih keuntungan besar sepanjang kejohanan selain menawarkan hadiah lumayan kepada juara Piala Dunia.

Bagaimanapun, menurut laporan MARCA, artis yang membuat persembahan pada final Piala Dunia 2026 tidak menerima bayaran tetap.

Konsep persembahan itu sama seperti persembahan separuh masa Super Bowl, apabila pihak penganjur hanya menanggung kos produksi dan logistik.

Sebaliknya, “bayaran sebenar” diterima Shakira, Madonna, BTS dan Justin Bieber ialah pendedahan kepada penonton global yang mampu meningkatkan pendapatan mereka menerusi jualan album, penstriman muzik dan pelbagai sumber pendapatan lain.

Mereka juga menerima elaun kecil sepanjang sesi latihan sebelum persembahan berlangsung.

Dalam beberapa majlis pembukaan dan penutupan Piala Dunia sebelum ini, artis juga bersetuju membuat persembahan tanpa menerima bayaran tradisional kerana impak promosi yang diperoleh jauh lebih besar.

Laporan sama menyebut platform digital artis yang terbabit lazimnya mencatat peningkatan ketara dari segi jumlah penstriman dan jualan dalam tempoh beberapa minggu selepas acara itu berlangsung.

Persembahan separuh masa final Piala Dunia 2026 dijangka berlangsung kira-kira 11 minit, dengan gabungan muzik, kreativiti dan persembahan bertenaga daripada Shakira, Madonna, BTS dan Justin Bieber.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top