February 25, 2024

Suami isteri maut dalam perjalanan balik ke rumah

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri yang dalam perjalanan pulang ke ibu negara selepas bercuti di kampung dekat Kamunting, Perak maut selepas terlibat dalam nahas jalan raya dengan dua kenderaan lain.

Insiden menyayat hati itu berlaku pada jam 11.05 pagi di Kilometer 415.1 Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan).

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki pasangan itu telah merempuh belakang kenderaan pacuan empat ronda yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.

Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa terpelanting di sebelah kanan jalan sebelum terkena kereta Toyota Vios yang dipandu lelaki warga emas berusia 65 tahun yang melalui jalan tersebut.

“Akibat insiden itu, kedua-dua pasangan suami isteri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

“Mayat mereka telah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Faizal berkata, semasa kejadian, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan balik ke rumah mereka di Taman Melewar, Batu Caves.

Katanya, kes sedang disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -MalaysiaGazette

OR

Scroll to Top