February 25, 2024

Sudan umum gencatan senjata pada hari pertama Aidiladha

TORONTO – Pemimpin de facto Sudan yang juga ketua angkatan bersenjata mengumumkan gencatan senjata “unilateral” pada Selasa, sempena sambutan Aidiladha umat Islam.

Abdel Fattah al-Burhan menerusi ucapan di televisyen menyatakan bahawa seluruh dunia menyaksikan apa yang berlaku di Khartoum, Ubaid, Zalin, dan Nyala, serta kejadian di Junaynah yang mungkin merupakan jenayah pembersihan etnik.

Sambil mendakwa bahawa angkatan bersenjata telah menjalankan tanggungjawab mereka terhadap “konspirasi pengkhianatan” ini, Burhan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sudan atas sokongan mereka terhadap angkatan bersenjata, lapor Agensi Anadolu.

Burhan mendakwa bahawa komander Pasukan Rapid Support Forces (RSF), Mohamed Hamdan Dagalo, juga dikenali sebagai Hemedti, ingin menubuhkan kerajaan sendiri “atas kesengsaraan rakyat Sudan.”

Beliau mengulangi bahawa angkatan bersenjata bersedia menyerahkan kuasa kepada kerajaan sivil yang dipimpin oleh rakyat Sudan.

Dagalo juga mengumumkan gencatan senjata “unilateral” pada malam dan hari pertama Aidil Adha.

Pada 15 April, pertempuran antara tentera Sudan dan RSF di Khartoum dan kawasan sekitar mengakibatkan lebih 600 orang terbunuh manakala ribuan lagi cedera.

Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021, apabila tentera menggulingkan kerajaan sementara yang dipimpin Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat. – Bernama-Anadolu

OR

Scroll to Top