February 25, 2024

Syeikh Zainul Asri mohon maaf, beri penjelasan isu ‘musuh Allah’

ALOR SETAR: Pendakwah bebas, Syeikh Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli memohon maaf dan membuat penjelasan berhubung ucapannya yang menyebut ‘musuh Allah’ semasa Himpunan Kedah Berselawat di Stadium Darul Aman, pada Sabtu lalu.

Syeikh Muhd. Zainul Asri berkata, isu berkenaan telah disalah tafsir walaupun ucapan tersebut tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.

“Sebelum itu saya memohon maaf tidak terhingga kepada muslimin dan muslimat serta seluruh rakyat Malaysia yang tersinggung dan tersentuh terhadap ucapan yang berbangkit.

“Sesungguhnya saya tidak menyasarkan ucapan itu kepada mana-mana kumpulan dan tidak menyebut kepada mana-mana parti politik atau sesiapa sahaja,” katanya dalam klip video di Instagram miliknya.

Pada Sabtu lalu, ketika menyampaikan Tausiah sempena Himpunan Kedah Berselawat, Syeikh Muhd. Zainul Asri berharap agar ‘Allah mempertahankan negeri ini (Kedah) daripada dijatuhkan oleh musuh-musuh Allah SWT dan dimenangkan agama Allah SWT’.

Jelas pengasas dan Penasihat Madrasah Darul Sajidin (Darsa) Kuala Nerang itu, beliau merujuk firman Allah ketika mengungkapkan ucapan itu.

“Tidak akan meredhai golongan yahudi dan golongan nasrani sehinggalah kamu mengikut jejak langkah kehidupan mereka.

“Jadi itulah yang menjadi tujuan ucapan saya pada malam itu kerana Islam adalah agama yang konsisten dan istiqomah dengan akidah perjuangannya dan menolak sebarang bentuk dakyah dan juga usaha daripada musuh-musuh Islam iaitu yang dimaksudkan dengan golongan yahudi dan nasrani.

“Mudah-mudahan pencerahan ini akan beri seribu keharmonian kepada kita semua umat Islam dan rakyat malaysia. Marilah kita sama-sama bersatu dan berpadu untuk menjaga agama kita dengan sebaik-baiknya,” katanya. – UTUSAN

OR

Scroll to Top