New York: Harga tiket final Piala Dunia 2026 antara Argentina dan Sepanyol di Stadium New York New Jersey terus meningkat menjelang sepak mula awal pagi Isnin ini.
Menurut data perkhidmatan penjejakan tiket, TicketData.com, harga tiket paling murah untuk memasuki stadium meningkat daripada AS$6,636 (RM28,200) pada Isnin lalu kepada AS$7,612 (RM32,300) setakat hari ini.
Secara keseluruhan, purata harga tiket dalam tempoh tiga hari lalu meningkat sebanyak 10 peratus.
Sebagai perbandingan, harga tiket paling murah bagi aksi separuh akhir menyaksikan Argentina menewaskan England ialah AS$3,177 (RM13,500) ketika sepak mula.
Manakala tiket separuh akhir yang menyaksikan Perancis menewaskan Sepanyol pula hanya mencecah AS$1,315 (RM5,600), kurang daripada separuh harga aksi Argentina menentang England.
Sementara itu, harga tiket paling murah bagi penentuan tempat ketiga antara Perancis dan England di Miami menjunam kepada AS$653 (RM2,800) selepas susut 61 peratus dalam tempoh tiga hari.
Final yang akan berlangsung di East Rutherford, New Jersey pada awal pagi Isnin ini menemukan dua gergasi bola sepak dunia, Argentina dan Sepanyol.
Perlawanan itu juga bakal menutup tirai edisi terbesar Piala Dunia dalam sejarah, dengan Rumah Putih mengesahkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, akan hadir menyaksikan aksi berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
