Jeddah: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan lebih 1.2 juta jemaah memasuki negara itu untuk menunaikan umrah sejak permulaan musim pada 15 Zulhijah hingga akhir 30 Muharam, yang tiba dari 109 negara.
Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), kementerian itu mencatatkan peningkatan 30 peratus dalam bilangan jemaah umrah yang memasuki negara itu dengan visa umrah berbanding tempoh sama tahun lepas.
Selain itu, terdapat peningkatan 27 peratus dalam jumlah visa umrah yang dikeluarkan, dan lebih 4,200 kontrak sudah ditandatangani antara syarikat umrah dan ejen luar, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan operasi dalam menyambut kedatangan jemaah.
Kementerian itu sebelum ini mengumumkan permulaan musim umrah pada 14 Zulhijah 1446 Hijrah, dengan visa dikeluarkan melalui platform Nusuk, menandakan fasa baharu kemudahan untuk jemaah selaras dengan perjalanan pembangunan Arab Saudi di bawah Wawasan 2030.
Kementerian itu menyatakan bahawa permintaan yang semakin meningkat untuk umrah adalah susulan musim haji yang berjaya, yang dicirikan dengan pelaksanaan bersepadu, prosedur yang ditambah baik dan pembangunan infrastruktur teknikal.
Ia memaklumkan bahawa persiapan untuk musim baharu bermula lebih awal dengan penyelarasan bersama entiti berkaitan bagi memastikan proses yang lancar.
Kementerian itu juga memperluas kandungan kesedaran dan perkhidmatan digital dalam pelbagai bahasa, yang mencerminkan kepimpinan Kerajaan Arab Saudi dalam memberi perkhidmatan kepada pengunjung dua masjid suci dan memastikan tahap keselesaan, keselamatan dan kepuasan tertinggi untuk jemaah.
© New Straits Times Press (M) Bhd