1 juta jam tanpa kemalangan, projek jambatan jadi penanda aras

1 juta jam tanpa kemalangan, projek jambatan jadi penanda aras


Sabak Bernam: Projek pembinaan Jalan dan Jambatan Sungai Air Tawar yang menghubungkan Selangor dan Perak mencatat pencapaian membanggakan apabila mencapai satu juta manhours tanpa Lost Time Injury (LTI).

Pencapaian itu mencerminkan komitmen tinggi terhadap budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam sektor pembinaan yang sering berdepan risiko tinggi.

Majlis sambutan kejayaan itu disempurnakan Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, Muhammad Nizam Ali yang mewakili kepimpinan Selangor dan Perak.

Menurutnya, pencapaian tersebut bukan sekadar angka, sebaliknya hasil usaha berterusan semua pihak dalam memastikan persekitaran kerja selamat.

“Setiap jam tanpa insiden bukan kebetulan, tetapi hasil perancangan sistematik, pemantauan berterusan dan komitmen semua pihak daripada pengurusan hingga ke pekerja di lapangan.

“Jika berlaku kemalangan serius, banyak prosedur perlu dilalui termasuk siasatan dan perbicaraan mahkamah yang memakan masa. Lebih baik kita fokus kepada pencegahan,” katanya.

Majlis itu turut diadakan bersempena Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja yang disambut setiap 28 April bagi meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan fizikal dan kesejahteraan psikososial pekerja.

Sambutan yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa sejak 2003 itu turut menjadi medan memperingati mangsa kemalangan industri di seluruh dunia.

Sehingga Mac 2026, Selangor merekodkan tujuh kes kematian berkaitan pekerjaan dengan lima daripadanya dalam sektor pembinaan, selain 16 kes hilang upaya kekal dan 524 kes tidak hilang upaya kekal.

Statistik itu menunjukkan sektor pembinaan kekal berisiko tinggi, sekali gus menuntut komitmen berterusan dalam memperkukuh budaya pencegahan.

Dalam masa sama, kontraktor utama Meranti Budiman Sdn Bhd bersama BBSB Holdings Sdn Bhd turut melaksanakan inisiatif kelestarian menerusi program “Penanaman 1001 Bakau – Satu Pokok, Sejuta Harapan”.

Pengarah Eksekutif BBSB Holdings, Tan Tze Tung berkata usaha itu bertujuan memastikan pembangunan berjalan seiring pemeliharaan alam sekitar, khususnya di muara Sungai Bernam.

Program itu melibatkan kerjasama Global Environment Centre, Sahabat Bakau serta Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

Sebanyak 1,001 pokok bakau akan ditanam di kawasan seluas 0.5 ekar dalam dua fasa bermula Mei 2026 hingga Disember 2027, melibatkan spesies seperti Rhizophora apiculata, Nypa fruticans dan Rhizophora mucronata.

Inisiatif itu dijangka membantu pemulihan ekosistem setempat termasuk habitat kunang-kunang dan ketam selain menyokong potensi eko-pelancongan di kawasan berkenaan.

Majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada kontraktor cemerlang dalam penilaian keselamatan melalui sistem SHASSIC dan SPAS sebagai pengiktirafan terhadap komitmen tinggi dalam aspek KKP.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top