Kuala Lumpur: Bidang perakaunan sering kali disalah anggap sebagai satu kerjaya yang hanya melibatkan kira-kira dan kerja pejabat semata-mata. Hakikatnya, ia merupakan salah satu bidang yang paling fleksibel, praktikal dan berdaya saing berbanding dengan banyak bidang bukan sains sosial lain.
Pelajar yang mengambil subjek Prinsip Perakaunan sejak sekolah menengah sebenarnya sudah mempunyai satu kelebihan awal. Ilmu yang mereka pelajari bukan sekadar untuk lulus peperiksaan, tetapi menjadi asas penting untuk pelbagai kerjaya dalam dunia sebenar. Perakaunan bukan hanya teori, ia adalah kemahiran hidup yang digunakan setiap hari oleh individu dan organisasi.
Berbeza dengan bidang seperti kejuruteraan, teknologi atau sains tulen yang memerlukan kemahiran teknikal khusus dan alatan tertentu, ilmu perakaunan boleh diaplikasikan dalam pelbagai konteks. Ia fleksibel dan boleh digunakan di mana-mana sahaja dari syarikat besar hingga ke perniagaan kecil, dari kerajaan hingga ke organisasi bukan kerajaan.
Berikut adalah 10 cabang kerjaya utama dalam bidang perakaunan yang boleh diceburi oleh pelajar selepas SPM dan pengajian tinggi:
- Akauntan – Menyediakan laporan kewangan, menyelia aliran tunai dan membantu syarikat membuat keputusan berdasarkan maklumat kewangan yang tepat.
- Juruaudit – Menjalankan semakan kewangan dan sistem kawalan dalaman organisasi untuk memastikan urus tadbir yang baik dan telus.
- Pegawai Cukai – Mengurus cukai syarikat dan individu, memastikan pematuhan kepada undang-undang serta merancang strategi percukaian yang efisien.
- Eksekutif Akaun – Bertanggungjawab terhadap catatan transaksi harian, semakan invois, penyediaan laporan aliran tunai dan pengurusan bajet.
- Penganalisis Kewangan – Menganalisis data dan trend kewangan syarikat untuk membantu dalam membuat keputusan pelaburan dan pengembangan perniagaan.
- Perancang Kewangan – Membantu individu dan keluarga merancang kewangan jangka panjang termasuk simpanan, pelaburan dan persaraan.
- Setiausaha Syarikat – Menyediakan dokumen rasmi korporat, menyelaras mesyuarat lembaga pengarah dan memastikan pematuhan kepada Akta Syarikat.
- Pegawai Audit Dalam – Mengurus kawalan dalaman organisasi dan mengenal pasti risiko atau kelemahan yang boleh menjejaskan operasi syarikat.
- Usahawan – Dengan ilmu akaun, pelajar boleh mengurus kewangan perniagaan sendiri dengan lebih tersusun dan menjadikan operasi lebih efisien.
- Pensyarah atau Pengajar Perakaunan – Menjadi tenaga pengajar di kolej atau universiti bagi melatih generasi baharu yang bakal mengisi keperluan industri perakaunan.
Bidang ini juga menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti perbankan, pendidikan, perkilangan, peruncitan dan teknologi. Tidak seperti beberapa bidang lain yang tertumpu kepada satu industri sahaja, graduan perakaunan boleh bekerja dalam hampir semua sektor ekonomi.
Dengan asas yang kukuh, pelajar bukan sahaja membina kerjaya tetapi juga membina masa depan yang lebih tersusun dan berdaya saing. Perakaunan kekal sebagai pilihan bijak untuk mereka yang mencari kestabilan, peluang kenaikan pangkat dan mobiliti kerjaya dalam jangka masa panjang.
Maklumat penulis
Nurul Nadiah Ahmad
Pensyarah Kanan, Uniten Business School,
Universiti Tenaga Nasional