Sebut sahaja Rizman Ruzaini pasti terbayangkan rekaan gaun pengantin yang elegan dan tampak eksklusif hasil sentuhan tangan, gandingan serasi dua anak melayu Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil yang telah membina empayar selama 17 tahun, hingga jenama ini sering kali menjadi pilihan para selebriti tanah air.
Bagaimanapun, pada tahun ini dua pereka terkemuka ini memberikan kelainan apabila menyediakan satu ‘line up’ pakaian pengantin yang menawarkan harga ‘mampu milik’ hasil sentuhan tangan seorang anak muda lelaki berasal dari Sandakan Sabah, iaitu ‘Junior Designer’ dikenali sebagai Akmal Hakim Ajirul.
Menurut Rizman dan Ruzaini, impian untuk melihat penerimaan jenama ini diterima dengan cukup meluas dalam kalangan rakyat Malaysia telah tercapai.
RR Perkenal Junior Designer Bagi Rekaan Mampu Milik
Justeru, bagi mencapai impian kedua iaitu melihat setiap bakal pengantin di Malaysia menggayakan busana perkahwinan jenama mereka, antara langkah pertama yang diambil jenama ini adalah dengan memperkenalkan Junior Designer yang akan membantu merealisasikan ‘impian’ ini.
Artikel berkaitan: Persis ‘Wanita Arab’, Kejelitaan Izara Dalam Busana Patuh Syariah Rizman Ruzaini Mempersonakan!
“Ini bukan perkara baharu dalam dunia fesyen antarabangsa, malah jenama terkenal lain memang mempunyai pereka muda sebagai pelapis. Di Rizman Ruzaini sendiri kami mahu menuju ke destinasi yang lebih jauh dan mempunyai seseorang yang akan membawa aspirasi kami pada waktu ini sangat penting.
“Bukan satu kerja mudah, dalam tempoh pencarian ini juga, elemen utama yang kami ambilkira adalah Junior Designer yang bakal dipilih memahami DNA Rizman Ruzaini. Alhamdulillah selepas hampir setahun, kami dipertemukan dengan Akmal yang kami yakin mampu menyempurnakan setiap rekaan dengan sentuhan Rizman Ruzaini,” katanya.
Perkara berkenaan dimaklumkan sendiri oleh gandingan pereka duo, Rizman dan Ruzaini ketika ditemui pada majlis ‘RR Bridal ’23’ yang diadakan di Rizman Ruzaini Couture di salah sebuah hotel terkemuka di ibu kota baru-baru ini.
Tambah, Rizman lagi, kehadiran Akmal adalah sebagai penanda aras kepada perniagaan mereka agar boleh menghasilkan produk dengan harga yang mampu dimiliki oleh rakyat marhaen.
Namun, meskipun ia menggunakan hasil sentuhan tangan Junior Designer, sepenuhnya Rizman menegaskan bahawa setiap rekaan masih akan dipantau teliti oleh dirinya dan Ruzaini agar nilai estetik dan kualiti yang sentiasa dititikberatkan dalam jenama RR dapat dikekalkan.
Tawaran Harga Serendah RM 4,000 Bagi Busana RR Hasil Tangan Akmal
“Kami berhasrat mahu menjadi sebahagian daripada hari penting setiap pengantin di Malaysia, memang itu yang menjadi impian kami berdua sebenarnya. Namun kita perlu bersikap realistik. Bagi saya soal kadar bayaran masih menjadi agenda utama pengantin di luar sana.
“Jadi kehadiran junior designer ini adalah solusi daripada kami buat semua bakal pengantin. Dengan harga permulaan hanya dari RM4,000 tidak mustahil lagi buat mereka untuk menyarung busana jenama Rizman Ruzaini si hari bersejarah mereka. ” jelasnya.
Sekadar info, Junior Designer di bawah jenama RR tidak hanya dinilai berdasarkan kreativiti semata-mata, malah gaya persembahan diri serta kemampuan berkomunikasi yang baik dengan pelanggan juga dinilai sebelum diterima sebagai Junior Designer jenama ini.
Mengulas perkara sama, Akmal turut berkesempatan menzahirkan rasa syukur apabila diberi tanggungjawab menggalas jawatan Junior Designer dan menjelaskan bahawa dirinya cukup bertuah untuk berada di bawah kelolaan dua pereka terkenal negara ini.
Selain itu, anak jati kelahiran negeri di bawah bayu itu juga berazam akan memberikan sentuhan terbaik bagi setiap rekaan hasil sentuhan tanganya serta menyalurkan kreativiti yang mampan agar selari dengan setiap rekaan jenama ini.
“Saya ingin berterima kasih kepada Rizman dan Ruzaini kerana mempercayai bakat yang saya ada.
“Bukan mudah sebenarnya saya membawa jenama sebesar ini, justeru apabila diberi peluang saya fikir ini adalah masa yang terbaik untuk saya mencabar diri,” jelasnya.
Artikel berkaitan: Sasaran 10 Juta Ringgit! Promosi Tote Bag Rizman Ruzaini Punyai Kelainan, Bikin Gegar Bukit Bintang.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.