SEBANYAK 10 pasukan, termasuk tuan rumah Malaysia, bakal bersaing dalam Piala Konfederasi Kriket Asia (ACC) Bawah 16 (B-16) Zon Timur 2025 yang akan membuka tirainya pada Ahad.
Persatuan Kriket Malaysia (MCA) dalam satu kenyataan memaklumkan kejohanan remaja berprestij itu akan berlangsung hingga 5 Julai ini di tiga lokasi iaitu Oval YSD-UKM di Bangi, Selangor Turf Club di Seri Kembangan dan Oval Kolej Tuanku Ja’afar di Mantin, Negeri Sembilan.
“Kejohanan ini akan menggunakan format liga sepusingan dengan dua pasukan teratas layak ke perlawanan akhir.
“Ia dianjurkan sebagai sebahagian daripada laluan pembangunan belia ACC dan akan berlangsung dalam format 50 over bagi membiasakan dan bersedia dalam suasana kompetitif kriket antarabangsa pada masa depan kelak,” menurut kenyataan itu.
Sebagai rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Hong Kong, Thailand, Maldives dan Myanmar manakala Kumpulan A terdiri daripada Nepal, Singapura, Indonesia, Bhutan dan Jepun.
Sementara itu, Presiden MCA Mahinda Vallipuram berkata, kejohanan tesrebut merupakan komponen penting dalam pelan pembangunan pemain muda negara yang berpotensi menjadi pelapis skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.