10 trip dua hala feri Langkawi – Kuala Kedah dihentikan

10 trip dua hala feri Langkawi – Kuala Kedah dihentikan



am@hmetro.com.my

Alor Setar: Sepuluh trip perjalanan feri dua hala dari Kuala Kedah ke Langkawi dihentikan hari ini berikutan angin kencang selain ombak setinggi 3.5 meter di perairan Kuala Kedah – Langkawi.

Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, semua trip perjalanan dua hala itu terpaksa dihentikan pada hari ketiga hari ini kerana boleh membahayakan penumpang dan anak kapal.

Beliau berkata, semua trip feri itu membabitkan jumlah keseluruhan penumpang 3,513 orang.

“Pembatalan feri dari Langkawi ke Kuala Kedah adalah pada jam 8.30 pagi yang membabitkan 589 penumpang manakala jam 10.30 pagi membabitkan 538 penumpang, feri pada jam 12 tengahari (271 penumpang) dan feri jam 1.30 petang (430 penumpang) manakala feri jam 2.30 petang membabitkan penumpang seramai 644.

“Jumlah penumpang dari laluan Langkawi ke Kuala Kedah itu membabitkan seramai 2,472 orang.

“Bagi jadual perjalanan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi pula pada jam 10 pagi membabitkan 429 penumpang, 11.30 pagi seramai 217 penumpang, 1.30 petang (127 penumpang) manakala jam 3 petang (93 orang) dan jam 4.30 petang membabitkan 175 penumpang, “katanya.

Baharin berkata, jumlah keseluruhan penumpang di laluan Kuala Kedah ke Langkawi adalah seramai 1,041 orang.

Beliau berkata, lencongan perjalanan melalui Terminal Penumpang Kuala Perlis akan dilakukan berdasarkan pada keupayaan terminal itu menerima jumlah feri pada satu-satu masa berdasarkan kelulusan Jabatan Laut Malaysia.

“Sehubungan itu penumpang yang terjejas boleh menuntut bayaran balik atau menukar tarikh perjalanan.

“Penumpang yang membuat pembelian insuran RM1 boleh membuat tuntutan insurans seperti feri ditunda antara 4 hingga 8 jam (RM50) feri ditunda melebihi lapan jam (RM200), perbelanjaan perubatan akibat kemalangan sehingga RM1,000.

“Selain itu, insuran kehilangan bagasi boleh tuntut sehingga RM200, hilang upaya kekal akibat kemalangan (RM30,000) dan perbelanjaan pengebumian bagi semua kes sebanyak RM500.

“Tuntutan boleh dilakukan dengan menghantar butiran tuntutan berserta dokumen sokongan kepada ANcare@agentnow.com.my atau berhubung dengan pegawai untuk sebarang pertanyaan bermula jam 10 pagi hingga 4 petang (Isnin hingga Jumaat),” katanya.

Baharin berkata, pegawai yang boleh dihubungi Adeline (012-4109614), Afa (013-6754046), Go (016-4540128) atau pejabat 04-2279999.

Beliau berkata, perjalanan keluar masuk ke Langkawi melalui Terminal Penumpang Kuala Perlis masih selamat untuk semua operasi feri dan Roro ketika ini.

Sebelum ini media melaporkan kesemua trip feri dari Kuala Kedah ke Langkawi dan Langkawi ke Kuala Kedah dihentikan pada Selasa dan Rabu berikutan ombak tinggi sehingga lima meter yang boleh membahayakan keselamatan penumpang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top