100 MIYE: Farhash dinobat usahawan muda ikonik

100 MIYE: Farhash dinobat usahawan muda ikonik


KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador melakar sejarah apabila dinobatkan antara  usahawan muda paling berpengaruh di negara ini pada Anugerah 100 Most Influential Young Entrepreneurs (100 MIYE).

Bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri itu dipilih menerusi Kategori Usahawan Ikonik Tahunan kerana kemampuannya diiktiraf buat kali kedua sepanjang sembilan tahun penganjuran 100 MIYE.

Anugerah kepada Farhash disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada majlis di sini malam tadi.

Pengerusi penganjurnya, Datuk KK Chua berkata, Kategori Ikonik hanya boleh diberikan kepada pemenang sama buat kali kedua.

Beliau berkata, tahun ini, 100MYE yang berkonsepkan Evolve turut mencipta sejarah menerima penyertaan paling ramai sebanyak 959 usahawan sepanjang penganjuran berharap setiap usahawan terus melakukan perubahan.

“Jika mereka  boleh melakukan  penambahbaikan dalam kepimpinan, pengurusan dan  strategi perniagaan sebanyak satu persen setiap hari dalam masa setahun, keputusannya mereka akan dapat 37 kali  lebih baik daripada titik awal mereka bermula.

“Pelbagai cara pemasaran yang ada hari ini memberi ruang yang sangat besar kepada para usahawan untuk membawa perniagaan mereka sehingga ke peringkat global.

“Mereka mesti manfaatkan kecanggihan teknologi pemasaran hari ini seperti Tik Tok dan sebagainya. Usahawan muda hari ini sangat kreatif dan mampu merangka strategi jualan di ‘luar kotak’,” katanya dalam satu kenyataan.

Tahun ini 100MYE yang berkonsepkan Evolve turut mencipta sejarah menerima penyertaan paling ramai sebanyak 959 usahawan sepanjang penganjuran.

Sementara itu, pada Mac lalu, Farhash mencuri tumpuan apabila dilaporkan memiliki pegangan saham terbesar dalam sebuah syarikat yang disenarai pendek untuk projek membangunkan sistem imigresen baharu yang menelan belanja RM1 bilion.

Bekas pemimpin PKR berusia 41 tahun itu membeli 15.91 peratus pegangan dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikatnya Rosetta Partners Sdn Bhd.

Menurut Farhash, Rosetta Partners merupakan anak syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd yang dimilikinya bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Pembelian dalam HeiTech Padu dilakukan sehari selepas MyEG Services Bhd memperoleh 14.4 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat itu dengan wang tunai RM31.25 juta pada 11 Mac lalu.

Pada hari sama, HeiTech Padu mengumumkan telah menerima lanjutan kontrak selama setahun untuk menyelia Sistem Imigresen Malaysia (MyIMM) bernilai lebih RM13 juta.

HeiTech Padu ialah salah satu daripada tiga syarikat yang disenarai pendek oleh kerajaan untuk membangunkan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bernilai RM1 bilion bagi menggantikan MyIMM. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top