lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 11 lori kargo membawa bantuan kemanusiaan dari Malaysia berjaya dibawa masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah, semalam.
Pengarah Kempen The Rightful Gift, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, kargo yang berisi 5,400 kotak makanan asas dan 100 tan gandum bernilai RM2.8 juta itu sedang diagihkan kepada keluarga yang terkesan di Utara Gaza dan Bandar Gaza.
Menurutnya, satu gudang dibuka di Gaza bagi memudahkan koordinasi penghantaran bantuan dan pengagihan bantuan dalam wilayah bergolak itu.
“Pada Oktober lalu, kempen ini sudah mengagihkan bantuan bernilai RM1.6 juta berupa masakan panas, roti, kotak makanan, perubatan, susu, lampin pakai buang, kayu api, pakaian, selimut dan khemah.
“Segala bantuan ini diuruskan oleh wakil kami di Gaza. Nilai bantuan keseluruhan untuk Oktober dan November tahun ini adalah sebanyak RM 4.4 juta untuk manfaat hampir 80,000 rakyat Gaza.
“Semua ini adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia dan Nusantara yang bersama-sama menjayakan misi kemanusiaan ini tanpa henti sejak Oktober 2023,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Kempen The Rightful Gift adalah hasil gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan NGO) diketuai Global Hayat bersama Komuniti Dakwah Tarbiah, Kelab Perwira Malaysia dan Nisa Al-Khair.
Mengulas lanjut, Muhd Farhan berkata, susulan perkembangan positif pembukaan laluan darat, pihaknya menyasarkan penghantaran 50 lori kargo ke Gaza dalam fasa pertama hingga akhir Mac 2026.
“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersama dalam misi kemanusiaan ini.
“Setiap sumbangan, kecil atau besar, memberi kesan langsung kepada saudara kita di Gaza yang kini melalui fasa paling mencabar dalam hidup mereka, fasa pasca perang dalam musim sejuk dan tidak lama lagi akan masuk bulan Ramadan.
“Semoga segala usaha ini menjadi saksi bahawa Malaysia dan Nusantara tidak pernah meninggalkan Gaza, dalam apa jua keadaan,” katanya.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel membunuh hampir 68,200 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan menjadikan wilayah itu sebahagian besarnya musnah dan tidak boleh didiami.
© New Straits Times Press (M) Bhd





