KEJOHANAN Olahraga Malaysia 2025 bakal dimeriahkan dengan penyertaan 11 negara termasuk atlet tempatan di Kangar, Perlis akhir bulan ini.
Perkembangan tersebut dikongsi oleh Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim yang turut memaklumkan kejohanan itu bakal disertai 700 atlet.
Negara yang akan menghangatkan kejohanan berkenaan ialah Algeria, China, Nepal, Singapura, Afrika Selatan, Sri Lanka, Thailand, Filipina, Arab Saudi dan Korea Selatan.
“Turut mengambil bahagian ialah wakil dari universiti tempatan, Majlis Sukan Negeri, dan persatuan olahraga negeri,” katanya.
Justeru beliau mencabar agar atlet negara yang bertanding untuk memecahkan rekod kebangsaan menerusi saingan sengit di balapan.
“Kejohanan ini juga merupakan tapak buat atlet negara untuk melayakkan diri ke Sukan SEA Thailand akhir tahun ini,” katanya.
Karim turut menghargai barisan penaja yang sedia bersama MA untuk menjayakan kejohanan yang dijadual berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar bermula 29 hingga 31 Ogos ini.
“Terima kasih kepada penaja yang sudi bersama kita di Perlis,” katanya.