am@hmetro.com.my
Melaka: ‘Keberanian’ warga asing memandu tanpa lesen memandu kompeten (CDL) memakan diri apabila 11 kenderaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (OPS PEWA) sejak 1 Februari hingga kelmarin.
Dalam operasi itu, tiga kereta, enam motosikal serta masing-masing sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pacuan empat roda disita selepas pemandunya didapati langsung tidak memiliki lesen memandu yang sah, namun tetap berani memandu di jalan awam.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, operasi dilaksanakan di beberapa lokasi tumpuan sekitar negeri ini bagi membanteras kegiatan warga asing yang memandu tanpa kelayakan sah sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain.
Menurutnya, 65 kenderaan diperiksa dengan 11 disita kerana pemandunya tidak memiliki lesen CDL termasuk sebuah dikompaun atas kesalahan menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) untuk berniaga.
“Warga Pakistan paling ramai dikesan melakukan kesalahan memandu tanpa lesen iaitu lima orang, diikuti warga India (tiga) serta masing-masing seorang warga Kanada, Mesir dan Iraq,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, antara kenderaan dipandu warga asing terbabit termasuk kereta Mazda yang turut didapati tidak mempunyai perlindungan insurans dan LKM tamat tempoh, Proton Savvy, pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton serta dua motosikal.
“Seorang warga Mesir pula dikompaun kerana memandu MPV dan menyalahgunakan LKM bagi tujuan berniaga kurma,” katanya.
Siti Zarina berkata, tindakan penyitaan dilakukan bagi memberi pengajaran serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya tidak digadai akibat sikap sambil lewa dan berani mengambil risiko memandu tanpa lesen sah.
“JPJ Melaka mengingatkan semua pemilik kenderaan supaya tidak membenarkan warga asing atau mana-mana individu tanpa lesen memandu yang sah menggunakan kenderaan mereka.
“Tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap pemilik kenderaan sekiranya didapati bersubahat atau cuai,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, dalam operasi berasingan Ops Gempur pada Jumaat lalu, tiga lori disita atas pelbagai kesalahan termasuk LKM tamat tempoh sejak 2022, membawa lebih muatan sehingga 77 peratus melebihi had dibenarkan dan kesalahan teknikal.
Katanya, antara kesalahan teknikal dikesan ialah membawa muatan tidak sesuai seperti besi di atas lori yang berisiko tinggi tercabut atau terjatuh dan muatan menjulur keluar hingga boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd






