114 operasi hapus kebun durian haram sejak 2019

114 operasi hapus kebun durian haram sejak 2019


am@hmetro.com.my

Kuantan: Sebanyak 114 operasi penguatkuasaan dengan rampasan lebih 100 barangan dijalankan sejak 2019, membuktikan betapa seriusnya masalah kebun durian haram di Hutan Simpan Raub yang kini menjadi tumpuan tindakan tegas Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP).

Pengarah JPNP, Zainuddin Jamaluddin berkata, operasi itu membabitkan 59 kes pencerobohan hutan yang dijadikan kebun durian secara haram dalam tempoh tujuh tahun.

“Sebanyak 101 barangan dan peralatan yang ditemui dalam kawasan hutan turut disita termasuk kenderaan pacuan empat roda, motosikal serta peralatan meracun.

“Operasi dijalankan Unit Penguat Kuasa Barat JPNP dengan kerjasama agensi penguat kuasa peringkat daerah yang terbabit secara langsung dalam usaha mengekang kegiatan pencerobohan Hutan Simpan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi.

Zainuddin berkata, sudah tiba masanya untuk menoktahkan kegiatan itu kerana ia turut menyumbang kepada kejadian tanah runtuh serta kemusnahan alam sekitar.

Beliau berkata, operasi dilaksanakan secara tebang habis membabitkan semua pokok durian tanpa mengira saiz atau lokasi menggunakan mesin gergaji berantai.

Katanya, selepas semua pokok ditebang, kerja penanaman semula dilaksanakan oleh Pejabat Silvikultur Negeri (PSN) JPNP Zon Barat dengan menanam spesies balak berkualiti seperti Meranti, Merbau, Perah dan Keruing.

Untuk rekod, pada 2021, JPNP melaksanakan operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian Musang King seluas lebih 101.17 hektar dalam Hutan Simpan Batu Talam yang ditanam secara haram, membabitkan penebangan kira-kira 15,000 pokok durian.

Bulan lalu, JPNP turut membantu operasi penguatkuasaan kebun haram di Sungai Ruan dan Sungai Klau, Raub.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top