12 lagi rakyat Malaysia masih di Iran

12 lagi rakyat Malaysia masih di Iran


mhafis@mediaprima.com.my

Sepang: Wisma Putra akan memantau 12 lagi rakyat Malaysia terdiri penuntut dan mereka yang berkahwin dengan warga Iran yang masih berada di negara terbabit.

Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar, berkata, individu berkenaan berada di beberapa lokasi termasuk di Tehran dan Syiraz.

Menurutnya, sekurang-kurangnya 12 orang masih berada di sana tetapi kerajaan terus memantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa.

“Kita pastikan mereka berada dalam keadaan selamat dan baik. Jika keadaan mengizinkan dan mereka memilih untuk keluar, kita akan bantu.

“Dalam kumpulan ini, seramai 17 adalah rakyat Malaysia, enam lagi ialah warga Iran yang mempunyai pertalian rapat dengan mereka, seorang lagi ialah warganegara Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama kumpulan 24 individu yang berjaya dievakuasi dari Iran malam ini.

Khairi berkata, perjalanan mereka membabitkan laluan darat hampir 1,000 kilometer sebelum tiba di sempadan Iran–Turkmenistan.

“Laluan ke timur dipilih bagi mengelakkan kawasan yang dikenal pasti sebagai zon konflik berikutan daripada konflik Israel – Iran.

“Kita pilih laluan jauh daripada punca serangan yang datang dari arah barat. Alhamdulillah, kita terima kerjasama baik daripada pihak berkuasa tempatan untuk benarkan pergerakan rentas sempadan,

“Ramai juga warga asing lain yang cuba keluar serentak, jadi kita terpaksa bersabar kerana proses pelepasan di sempadan agak panjang,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan kemudiannya meneruskan perjalanan ke Ashgabat sebelum menaiki pesawat ke Bangkok dan seterusnya tiba di KLIA kira-kira jam 10.50 malam tadi.

“Kami berada dalam perjalanan selama lebih 24 jam tanpa henti. Transit di Bangkok tengah hari tadi, dan akhirnya selamat tiba di KLIA.

“Perhubungan dengan rakyat Malaysia di Iran masih boleh dijalinkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) antara nombor tempatan,” katanya.

Katanya, pihaknya mencuba sebaik mungkin untuk kekal berhubung.

“Komunikasi antara nombor telefon Iran masih boleh digunakan, tapi ‘roaming’ (perayauan) antarabangsa memang tidak berfungsi.

“WhatsApp pula tidak dapat digunakan seperti biasa tetapi nampaknya ia sudah mula berfungsi semula secara perlahan-lahan, walaupun masih dikawal pihak berkuasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top