Mohd Sumali (berbaju hitam, tengah) bergambar dengan pihak Astro dan 40 peserta Kem Final Klinik STL baru-baru ini.
SERAMAI 12 pemain muda terbaik hasil program pembangunan Klinik Sepak Takraw League (STL) kini berpeluang melangkah ke fasa lebih tinggi dalam karier mereka apabila disenaraikan dalam perancangan awal untuk menyertai saingan STL musim akan datang.
Kem final selama lima hari yang menutup siri Klinik STL itu baru-baru ini telah menghimpunkan 40 peserta terbaik dari seluruh negara, hasil saringan sejak Mei lalu.
Sepanjang kem tersebut, peserta dibimbing oleh jurulatih kebangsaan melalui modul intensif meliputi aspek teknikal, taktikal dan pembentukan jati diri dengan matlamat melahirkan pemain berkaliber serta berdaya saing tinggi.
Menurut Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, program tersebut mencerminkan kesungguhan Astro memperkukuh ekosistem sukan sepak takraw negara melalui laluan pembangunan menyeluruh daripada akar umbi hingga ke pentas profesional.
“Penyertaan mereka mungkin bermula sebagai pemain latihan atau pelapis, namun pengalaman berada bersama pasukan profesional akan memberi impak besar kepada keyakinan dan disiplin mereka,” katanya.
Tambahnya, Astro sedang merangka pelan bagi memastikan kesemua 12 pemain berbakat itu mendapat pendedahan kompetitif di peringkat divisyen STL sebagai langkah susulan selepas kem final berakhir.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, kerjasama strategik bersama Astro menerusi Klinik STL memberi laluan jelas buat pemain muda melangkah lebih jauh dalam arena sukan ini.
“Peserta yang menunjukkan potensi tinggi akan diserap ke kejohanan anjuran PSM seperti Kejohanan Remaja Kebangsaan sebagai kesinambungan kepada alumni Klinik STL,” katanya.
Kem Final Klinik STL turut menerima sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kehadiran menterinya, Hannah Yeoh yang meninjau sesi latihan bersama peserta.
Program berkenaan turut disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan penaja rasmi STL, CelcomDigi dalam memperkukuh pembangunan bakat muda negara.
Ringkasan AI
- Seramai 12 pemain muda terbaik dari Klinik Sepak Takraw League berpeluang sertai STL musim akan datang
- Kem final lima hari Klinik STL menghimpunkan 40 peserta terbaik dari seluruh negara
- Peserta dibimbing oleh jurulatih kebangsaan melalui modul intensif teknikal, taktikal dan pembentukan jati diri
- Astro berusaha memperkukuh ekosistem sukan sepak takraw negara dari akar umbi hingga ke pentas profesional
- Program tersebut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan Malaysia dan penaja rasmi STL, CelcomDigi






