SUBANG JAYA: Seramai 137 mangsa dilaporkan terjejas akibat banjir yang melanda beberapa kawasan sekitar Klang dan Shah Alam pagi tadi, susulan hujan lebat yang berlarutan lebih enam jam sejak tengah malam tadi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, antara kawasan yang dinaiki air termasuk Jalan Kebun, Kampung Bukit Lanchung, Kampung Tengah, Kampung Baru Hicom dan Meru merupakan lokasi kawasan panas (hotspot) banjir setiap kali hujan lebat berlaku.
“Sekiranya tiada hujan lebat dan keadaan air pasang kembali normal, saya jangka keadaan akan menjadi lebih baik.
“Kawasan ini akan terus dipantau sehingga semua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) siap sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, hari ini.
Sementara itu, satu kematian turut dilaporkan di kawasan Sri Muda melibatkan seorang warga asing yang dipercayai terkena renjatan elektrik ketika air mula naik.
“Susulan kejadian tersebut, saya mengarahkan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertindak memutuskan bekalan elektrik di beberapa kawasan sekitar sebagai langkah pencegahan.
“Orang ramai turut dinasihatkan agar menutup suis utama elektrik di rumah masing-masing sekiranya berlaku banjir bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – UTUSAN